PM Najib puji jaringan gol cantik Faiz Subri

Astro Awani
Februari 17, 2016 17:32 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memuji jaringan melalui sepakan percuma yang cukup mengelirukan itu.
Jaringan cantik oleh pemain bola sepak Pulau Pinang Mohd Faiz Subri semalam bukan sahaja menjadi bualan peminat bola sepak dunia, malah turut mendapat perhatian pemimpin nombor satu negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memuji jaringan melalui sepakan percuma yang cukup mengelirukan ketika perlawanan bola sepak Liga Super 2016 menentang Pahang di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.
"Hebat gol freekick Faiz Subri, khabar mengenainya sampai ke Amerika. Saya ada lihat klip freekick itu, memang cantik," katanya dalam catatan terbaharu akaun Twitternya hari ini.
Najib turut memuat naik klip video aksi Faiz yang melakukan sepakan percuma pada minit ke-62 dengan bola terus melencong dari kiri ke kanan sebelum masuk ke gawang Pahang.

Hebat gol freekick Faiz Subri, khabar mengenainya sampai ke Amerika. Sy ada lihat klip freekick itu, memang cantik! pic.twitter.com/JNvNV166mY

— Mohd Najib Tun Razak (@NajibRazak) February 17, 2016
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Gol cantik hasil sepakan percuma itu telah mencuri tumpuan dunia termasuk beberapa portal antarabangsa.
Menurut portal berita British Independent (www.independent.co.uk), kemungkinan gol itu akan memenangi Anugerah FIFA Puskas 2016 sebagai 'Goal of the Year'.
Malah jaringan Faiz dianggap mengatasi kehebatan "sepakan percuma Roberto Carlos" ketika perlawanan persahabatan antara Brazil dan Perancis dalam Le Tournoi 1997 di mana Carlos melakukan sepakan dikenali sebagai "banana kick" yang seolah-olah melawan hukum fizik.
Pada perlawanan semalam Pulau Pinang menundukkan Pahang 4-1.
#Faiz Subri #pulau pinang menentang pahang #sepakan percuma
;