PM Najib minta DBKL bangunkan semula medan selera Dataran Sri Angkasa

Bernama
Disember 7, 2016 21:42 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (dua, kanan) berbincang mengenai pembangunan semula Medan Selera Dataran Sri Angkasa Jaya bersama para peniaga ketika mengadakan lawatan ke situ di Lembah Pantai hari ini. - foto Bernama
Tinjauan mengejut Datuk Seri Najib Tun Razak membawa khabar gembira kepada peniaga Medan Selera Dataran Sri Angkasa Jaya, Lembah Pantai di sini apabila beliau meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membangunkan semula medan selera itu.
Perdana Menteri berkata DBKL perlu berbincang dengan persatuan peniaga secepat mungkin bagi menyediakan pelan pembangunan semula kawasan perniagaan itu.
"Alhamdulillah, saya dapat buat tinjauan dan melihat sendiri medan selera ini sambil mendengar keluhan peniaga di sini. Memang mereka ada asas kenapa perniagaan mereka tertekan selama ini.
"Peniaga di sini boleh memperoleh pendapatan jauh lebih tinggi pada masa akan datang apabila kita bangunkan semula medan ini dengan pelbagai ciri yang sesuai seperti tempat letak kereta bertingkat," katanya kepada Bernama, RTM dan TV3 hari ini.
Najib, yang tiba kira-kira 5.30 petang, disambut Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang kemudian mengiringi beliau untuk sesi santai bersama penduduk dan peniaga.
Najib yang juga Menteri Kewangan turut bertanya khabar, bersalaman dan bergambar dengan komuniti itu sebelum beredar setengah jam kemudian.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja Cawangan Bangsar Abu Seman Alias berkata pelan pembangunan itu sememangnya ditunggu-tunggu peniaga bagi meningkatkan pendapatan mereka selain menyelesaikan masalah parkir di kawasan itu.
"Kita percaya pelan ini akan meningkatkan pendapatan masyarakat penjaja dan memberi peluang untuk mendapatkan kemudahan yang lebih baik dan selesa untuk berniaga dan bersantai. Masyarakat setempat juga pasti akan memanfaatkannya," katanya.
Medan selera itu dibuka sejak 2008 dan menempatkan 88 kedai namun hanya 20 kedai sahaja yang beroperasi berikutan masalah parkir dan akses laluan keluar masuk ke kawasan itu. -- Bernama
#Dataran Sri Angkasa #DBKL #Lembah Pantai #Najib Razak #Perdana Menteri
;