Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2015 di sini, hari ini.

Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di Jabatan Perdana Menteri berkata pelancaran Laporan Tahunan NTP akan disiarkan secara langsung di TV1 Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) pada 8.30 malam dan boleh ditonton di http://ntp2015live.najibrazak.com/

Menurut kenyataan Pemandu di sini, malam tadi, momentum transformasi besar dapat dicapai dalam beberapa bidang sosioekonomi utama di bawah NTP sejak enam tahun lepas.

"Ini termasuklah mengukuhkan asas bagi pertumbuhan ekonomi mampan, meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam, mewujudkan persekitaran perniagaan berdaya saing global, dan membangunkan jaringan keselamatan berkesan bagi meningkatkan lagi kualiti kehidupan rakyat Malaysia," kata Pemandu.

Pada 2010, Malaysia memulakan pelan transformasi 10 tahun itu.

Dilaksanakan daripada aspirasi Model Ekonomi Baru perdana menteri, NTP dilancarkan untuk memacu Malaysia mencapai status berpendapatan tinggi menjelang 2020 menerusi langlah-langkah mampan dan iklusif.

Pemandu menyatakan NTP telah meghasilkan kesan positif untuk pelbagai lapisan masyarakat Malaysia.

"Peluang-peluang bagi pemerkasaan ekonomi telah disampaikan, infrastruktur luar bandar dan bandar turut menyaksikan peningkatan ketara berbanding lima tahun dahulu dan kerajaan 'mencipta semula' dirinya di beberapa kawasan bagi mewujudkan penyampaian perkhidmatan awam yang 'berorientasikan pelanggan'," kata unit itu.

Menurut Pemandu ucapan perdana menteri esok akan memberi tumpuan kepada kemajuan yang dicapai di bawah program itu pada 2015 dan lima tahun lepas hasil daripada pelaksanaan NTP.

Program transformasi itu dilaksanakan menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara di bawah Program Transformasi Kerajaan dan Bidang Ekonomi Utama Negara di bawah Program Transformasi Ekonomi serta Inisiatif Perubahan Strategik.