PM Najib lancar sambutan Hari Malaysia di Ekspo Milano 2015

Bernama
Oktober 3, 2015 13:28 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan sambutan Hari Malaysia di Ekspo Milano di sini pada Sabtu. -fotoBERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan sambutan Hari Malaysia di Ekspo Milano di sini pada Sabtu.
Sambutan itu, dianjurkan oleh penganjur ekspo untuk negara-negara yang mengambil bahagian dalam ekspo terbesar di dunia itu yang diadakan setiap lima tahun sekali, turut dihadiri Menteri Alam Sekitar, Daratan dan Laut Itali Luca Galletti.
Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.
Najib dalam ucapannya berkata Pavilion Malaysia di ekspo itu, dalam bentuk empat biji benih, mencerminkan perjalanan Malaysia sebagai sebuah negara, untuk mencapai matlamat pembangunan sosio-ekonomi secara inovatif, mampan dan mesra alam sekitar.
Beliau juga berkata reka bentuk itu diilhamkan daripada biji benih yang terdapat di hutan hujan Malaysia, yang merupakan sebahagian penting kekayaan biodiversiti negara, daripada hutan-hutan dara sehingga pulau-pulau indah, kawasan tanah tinggi yang dingin dan ekosistem yang mewujudkan banyak flora dan fauna unik.
#Ekspo Milano #Hari Malaysia #Milan #najib #Nazri Aziz #Pavilion Malaysia