PM Najib kutuk serangan terhadap kota suci Mekah

Bernama
November 18, 2016 07:47 MYT
Najib berkata kejadian itu harus dijadikan pengajaran kepada umat Islam di Malaysia agar tidak membiarkan sengketa sesama mereka membuka peluang untuk musuh mencemari kesucian agama Islam. - Gambar fail
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengecam sekeras-kerasnya serangan puak Houthi Yemen yang melancarkan sebuah peluru berpandu ke kota suci Mekah baru-baru ini.
Najib berkata kejadian itu harus dijadikan pengajaran kepada umat Islam di Malaysia agar tidak membiarkan sengketa sesama mereka membuka peluang untuk musuh mencemari kesucian agama Islam.
"Baru-baru ini, Puak Houthi Yemeni telah melancarkan sebuah peluru berpandu balistik ke kota suci Makkah, tetapi Alhamdulillah, tindakan segera tentera Saudi telah berjaya memintas dan memusnahkan peluru berpandu tersebut sebelum ia sempat melakukan sebarang kemusnahan.
"Sesungguhnya kejadian ini amat mendukacitakan kesemua umat Islam serata dunia...Malaysia berdiri dalam solidariti bersama Arab Saudi, mengecam sekeras-kerasnya serangan ke atas tempat suci Islam," katanya melalui catatan terbaharunya di laman Facebook dan Twitter beliau pada Jumaat.
Pada 27 Oktober lepas, tentera gabungan Arab memintas dan memusnahkan peluru berpandu balistik yang dilancarkan pemberontak Houthi kira-kira 65 kilometer dari kota suci Mekah.
Pemberontak Houthi juga melancarkan serangan yang serupa di lokasi pangkalan udara Arab Saudi di Taif pada 10 Okt. - BERNAMA
#Arab Saudi #Houthi Yemen #Mekah #Najib Razak
;