PM Najib: Jangan terlalu yakin Sabah ialah 'simpanan tetap' BN

Ruzaini Zulkepli
Mac 2, 2018 18:37 MYT
Pemimpin Barisan Nasional di Sabah dinasihati untuk tidak 'terlalu yakin' dengan sokongan rakyat di negeri tersebut, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. foto Astro AWANI
Pemimpin Barisan Nasional (BN) di Sabah dinasihati untuk tidak 'terlalu yakin' dengan sokongan rakyat di negeri tersebut.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pimpinan parti di peringkat negeri harus terus bekerja keras bagi memastikan negeri tersebut kekal di bawah pentadbiran BN.
"Jadi saya harap jangan kita kira apa yang akan berlaku tetapi kita tumpu tugasan kita.
"Sekarang ini, pimpinan patut fokus bukan kepada keputusan tetapi kepada tanggungjawab mereka yang perlu diutamakan," kata Datuk Seri Najib dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Perdana bersama penjawat awam negeri dan persekutuan di Kota Kinabalu hari ini.
Turut hadir, Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman, Ketua Setiausaha Negeri Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman dan pemimpin tempatan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13, BN Sabah menang majoriti dua pertiga kerusi apabila meraih 48 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri serta 22 daripada 25 kerusi Parlimen.
#BN #DUN #menang #Musa Aman #Najib Razak #Parlimen #PRU 14 #Sabah
;