PM Najib, Hadi bakal sepentas selamatkan Baitulmaqdis

Harits Asyraf Hasnan
Disember 20, 2017 16:31 MYT
Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bakal sepentas sekali lagi dalam Perhimpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis pada Jumaat ini. - Gambar fail
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bakal sepentas sekali lagi dalam Perhimpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis, Jumaat ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan perkara tersebut berkata perhimpunan itu juga akan disertai 250 badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik.
"Kita jangkakan kehadiran dalam 10,000 orang dan kita mengalu-alukan lebih daripada itu.
"Ia juga melibatkan parti-parti politik dan NGO termasuk NGO yang bukan Islam.
"Soal Palestin adalah soal kesejagatan dan kemanusiaan, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama memberi sokongan kepada perhimpunan," katanya selepas mempengerusikan 'Mesyuarat Penyelarasan Himpunan Solidariti Perdana: Intifada Selamatkan Baitulmuqaddis' di sini hari ini.
Beliau berkata perhimpunan tersebut akan dimulakan dengan forum khas sebelum Solat Jumaat di Masjid Putra yang melibatkan Duta Palestin ke Malaysia, Datuk Dr. Anwar H. Al Agha serta tokoh-tokoh politik dan NGO.
Najib dan Abdul Hadi juga dijangka akan bersama-sama menurunkan tandatangan sebagai membantah keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.
Antara wakil politik yang dijemput sebagai panel forum adalah Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution; Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa; Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Kamaruddin Mohd Nor; Yang DiPertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Dr. Yusri Mohamad dan Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid sebagai moderator.
#Abdul Hadi Awang #Baitulmaqdis #Najib Razak #perhimpunan solidariti #Zahid Hamidi
;