PM Najib gesa syarikat senaraian awam sertai SL1M

Azyyati Ahmad
Februari 21, 2017 19:46 MYT
PM Najib: Program SL1M tahun ini menawarkan 25,000 jawatan kosong dan peluang latihan pekerjaan. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa syarikat senaraian awam dapat mengambil bahagian dalam Skim Latihan 1Malaysia (SL1M).
Ia antara lain adalah bagi memastikan syarikat-syarikat itu menyumbang semula kepada masyarakat dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Katanya, Perbendaharaan juga akan diarahkan menjadikan perkara itu sebagai sebahagian daripada prasyarat untuk mendapat kontrak kerajaan.
"Saya akan jadikan ini sebagai prasyarat untuk mendapatkan kontrak besar kerajaan. Jika mereka tidak mengambil bahagian dalam SL1M, maka peluang mereka adalah 'slim' (tipis) untuk mendapatkan kontrak kerajaan.
"Apa yang saya katakan, agar mereka ini menyumbang semula kepada masyarakat,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan program SL1M peringkat zon tengah dan buku SL1M di sini, hari ini.
Menurut Datuk Seri Najib, program SL1M tahun ini menawarkan 25,000 jawatan kosong dan peluang latihan pekerjaan.
Skim Latihan 1 Malaysia menjalankan Kick Off Temuduga Terbuka bermula hari ini dan berakhir pada Rabu bertempat di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Program tahun ini disertai lebih 100 syarikat terdiri daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta.
Antara syarikat yang menjayakan SL1M 2017 adalah Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), Maybank, Petronas,Telekom Malaysia Berhad, Parkson dan Panasonic.
Dijangka 40,000 pengunjung akan membanjiri program berkenaan..
SL1M juga bakal menjelajah ke seluruh negara meliputi lima zon pilihan utama bagi memastikan lebih ramai graduan dan pencari kerja mendapt manfaat dari program itu.
#Datuk Seri Najib Tun Razak #Perdana Menteri #Skim Latihan 1Malaysia #SL1M
;