PM Najib gesa penggiat digital tempatan bekerjasama dengan komuniti teknologi global

Bernama
Oktober 26, 2016 13:00 MYT
NAJIB: Ternyata, ekonomi Internet sangat penting dalam memacu agenda ekonomi digital secara menyeluruh, dengan sumbangannya kepada pertumbuhan negara menjadi lebih ketara. - Gambar fail
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggesa penggiat sektor digital tempatan bekerjasama dengan komuniti teknologi global, memandangkan Malaysia akan meraih manfaat besar jika mengeksploitasi sepenuhnya potensi ekonomi digital.
Beliau menggalakkan usaha sama dalam sektor berkenaan, terutama dengan China, berdasarkan teknologi Internet canggih dan berkembang pesat di negara itu.
Memetik contoh, Najib berkata China menyaksikan kelahiran banyak syarikat teknologi besar mereka sendiri seperti Alibaba, Tencent dan Baidu, yang terhasil menerusi ikon digital hari ini, yang mahu dimiliki oleh setiap syarikat teknologi.
"Oleh itu kita perlu mampu menyediakan rakyat Malaysia dengan infrastruktur rantaian bertaraf dunia dan keterhubungan pantas, dan pada masa yang sama memperkukuh pembangunan industri ke arah usaha memenuhi aspirasi kerajaan bagi merealisasikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.
"Potensi ini tiada hadnya. Semua ini memerlukan kesediaaan dan kesiapsiagaan kita untuk meneroka peluang," katanya pada Forum Ekonomi Digital Malaysia-China di sini.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata sumbangan ekonomi digital kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia ialah sebanyak 17.8 peratus.
Beliau berkata usaha gigih untuk menerima dan mengguna pakai teknologi digital secara menyeluruh dalam perniagaan, kerajaan dan dalam kalangan rakyat, telah menyumbang keputusan yang mengagumkan.
Ini dibuktikan menerusi peningkatan pelaburan langsung asing dalam sektor teknologi, penyampaian perkhidmatan kerajaan secara dalam talian yang bertambah baik selain meningkatkan taraf sosial yang lebih besar menerusi peluang pendapatan digital, katanya.
Najib berkata permintaan untuk sejuta pekerja digital pada 2025 mendorong Malaysia untuk mengintegrasikan pemikiran pengiraan dan sains komputer dalam kurikulum sekolah kebangsaan pada tahun depan.
Beliau berkata teknologi digital akan memainkan peranan yang lebih besar dalam ekonomi menerusi 100 bilion sambungan yang diunjurkan berlaku dalam tempoh 10 tahun akan datang.
"Ternyata, ekonomi Internet sangat penting dalam memacu agenda ekonomi digital secara menyeluruh, dengan sumbangannya kepada pertumbuhan negara menjadi lebih ketara.
"Justeru, setelah melihat dan mendengar bagaimana negara lain merebut peluang dalam ekonomi digital, sudah sewajarnyalah Malaysia turut serta," kata Najib.
Zon Perdagangan Bebas Digital, yang diumumkan baru-baru ini, akan menggabungkan ruang lokasi fizikal dan maya, menerusi insentif dan modaliti menarik bagi memudahkan e-dagang dan inovasi serta kreativiti dalam teknologi Internet.
Kerajaan mengumumkan bahawa 2017 merupakan Tahun Ekonomi Internet Malaysia. -- BERNAMA
#China #Datuk Seri Najib Tun Razak #kerjasama dengan komuniti teknologi global #sektor digital
;