PM Najib dan Malaysia tidak akan berdiam diri soal penindasan ke atas Rohingya
Tan Su Lin
Disember 4, 2016 12:16 MYT
Disember 4, 2016 12:16 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan beliau tidak akan menutup mata dan berdiam diri berhubung penderitaan Rohingya di Myanmar.
Berucap pada Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya, di Stadium Taman Tasik Titiwangsa di sini, hari ini, Malaysia akan berjuang habis-habisan bagi mempertahankan hak asasi golongan etnik beragama Islam di Myanmar itu.
"Apa mereka nak kita buat? Sebagai ketua kerajaan nak minta saya tutup mata? Nak saya bisu? Tapi saya tidak akan menutup mata dan tidak akan bisu sebab mereka ini mesti kita bela.
"Kita bela bukan sahaja mereka seakidah dengan kita. Mereka ini adalah manusia, mereka ada hak. Nyawa mereka bernilai dan kita mesti berjuang habis-habisan!" katanya.
Datuk Seri Najib juga akan meminta kerajaan Indonesia di bawah pimpinan Presidennya Joko Widodo untuk bersama-sama membantah kezaliman ke atas warga Rohingya.
"Saya nak minta Jokowi supaya meminta rakyat Indonesia agar berhimpun. Jangan protes Ahok sahaja. Isu Rohingya mesti diperjuangkan di Indonesia. Mereka juga boleh berhimpun di Jakarta," katanya lagi.
Dianggarkan kira-kira 20,000 orang termasuk warga Rohingya hadir pada himpunan anjuran NGO-NGO Islam Malaysia itu bagi membantah kezaliman ke atas etnik Rohingya.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa anggota kabinet termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman serta beberapa pucuk pimpinan PAS yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Dalam pada itu, Najib berkata perhimpunan hari ini turut melakar sejarah kerana rakyat mengetepikan perbezaan politik atas nama Islam dan kesatuan ummah.
"Kita ada UMNO dan PAS dalam perhimpunan ini. Kita boleh berbeza pendapat tetapi dalam soal Islam, soal ummah, ini wajib, ini bukan politik," katanya.