PM Najib cadang dunia ambil pendekatan berbeza untuk tumpas ekstremisme

Bernama
September 27, 2014 11:24 MYT
NAJIB: "Kali ini, (ia) mesti berbeza. Kali ini, kita perlu menumpaskan bukan sahaja golongan ekstremis, tetapi juga idea mereka".
Berlatarkan peningkatan ancaman daripada mereka yang memperjuangkan penubuhan Negara Islam, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) bahawa dunia perlu mengambil pendekatan berbeza untuk menumpaskan ekstremis militan dan ideologi mereka.
Perdana Menteri Malaysia berkata: "Kali ini, (ia) mesti berbeza. Kali ini, kita perlu menumpaskan bukan sahaja golongan ekstremis, tetapi juga idea mereka".
Dunia perlu mendepani penyelewengan yang dilakukan oleh golongan yang tidak mengikut ajaran agama sebenar dan cuba berkuasa menerusi keganasan, katanya pada debat umum ke-69 UNGA di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu di sini pada Jumaat (Sabtu di Malaysia).
Beliau berkata sebagai gantinya, ajaran Islam sebenar perlu disebar luas, Islam mengasaskan prinsip keamanan, tolerasi dan menghormati, seperti digariskan dalam al-Quran, 'Sunnah' dan 'hadis'.
Najib berkata untuk menangani ancaman ekstremisme ketika ini, "persoalannya adalah: bagaimana kita patut respons? Di masa lepas, apabila dunia digerakkan untuk memerangi golongan ekstremis, kita melancarkan perang tanpa perancangan bagi keamanan. Kita hanya menyerang satu kejahatan hanya untuk menyaksikan kemunculan lebih banyak kejahatan."
Najib berkata Iraq dan Syria, yang terjejas teruk akibat perang, berdepan ancaman baharu: pengisytiharan sendiri sebagai Negara Islam, dan mangsanya ialah golongan Sunni dan Syiah, kaum Yazidi dan Kurd: "sesiapa yang tidak tunduk kepada ancaman senjata".
"Negara itu, dirampas daripada negara sedia ada dengan keganasan, diperintah menerusi keganasan. Kekuasaannya dikekalkan menerusi paksaan dan pembunuhan orang awam.
"Pasukan militannya telah memusnahkan kehidupan dan masyarakat. Mereka telah menyebabkan ketidakstabilan di negara yang lemah dan mengancam keselamatan wilayah," katanya.
Beliau berkata mereka mencabar dan tidak mengiktiraf negara dan mempengaruhi golongan muda dengan seruan 'jihad' dan mereka mendesak semua orang Islam bersumpah taat setia kepada kalifah mereka.
"Desakan itu tidak akan dipenuhi selama-lamanya. Kami menolak Negara Islam seumpama itu. Kami menolak negara yang berpaksikan ekstremisme. Dan, kami mengutuk keganasan yang dilakukan atas nama Islam,” katanya.
Najib berkata umat Islam hanya mampu melihat dengan penuh kecewa tatkala agama mereka – agama keamanan – digunakan untuk mewajarkan keganasan dan kekejaman.
"Kita tahu bahawa ancaman terhadap keamanan dan keselamatan dunia bukannya Islam, tetapi ekstremisme: tiada toleransi, keganasan dan ekstremisme militan," katanya.
Najib mendefinisikan makna sebenar sebuah negara Islam, iaitu perlu adil dan saksama dari segi ekonomi, politik dan sosial.
Beliau berkata ia perlu melindungi dan melaksanakan enam objektif syariat Islam: hak untuk hidup, agama, keluarga, harta benda, maruah dan intelektual – sama seperti hak sejagat yang termaktub dalam deklarasi hak asasi manusia PBB.
"Negara Islam yang dikatakan di Syria dan Iraq – dan kaedah digunakan untuk mengisytiharkannya – telah melanggar dan mencabuli setiap daripada objektif berkenaan. Dengan itu, ia bukanlah sebuah negara Islam ataupun sebuah negara," katanya.
Najib menggariskan tindakan penting yang perlu diambil oleh masyarakat antarabangsa dalam mengambil pendekatan berbeza untuk memerangi golongan ekstremis dan ideologi mereka.
Pertamanya, katanya, keselamatan dan kenegaraan perlu dikembalikan kepada rakyat Syria dan Iraq.
Malaysia, katanya, menggesa masyarakat antarabangsa untuk menghentikan aliran wang dan rekrut kepada kumpulan ekstremis dan komited untuk terus menawarkan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang terjejas oleh peperangan.
"Serangan terhadap sasaran militan sepatutnya, dalam keadaan apa juga, perlu mengelakkan kemusnahan sampingan,” katanya.
Keduanya, masyarakat antarabangsa perlu mengusahakan kaedah politik berbeza kerana kemunculan militan ini merupakan petanda kegagalan politik; urus tadbir lemah di negara bergolak, dan konflik masih membara antara golongan Sunni dan Syiah.
"Kita perlu hentikan kitaran di mana satu kumpulan yang mendapat kuasa hanya mahu menggunakannya untuk menindas yang lain. Di mana peminggiran akan membawa kepada tindakan radikal, kerana rakyat hilang keyakinan dengan keupayaan negara untuk menjamin keselamatan dan kewujudan bersama.
"Individu dan etnik dab kumpulan agama perlu berasa yang mereka turut bertanggungjawab dalam kejayaan negara, bukan kegagalannya. Jadi, kita patut melaksanakan politik keterangkuman. Ini merupakan tugas sukar ... ia perlu datang daripada dalam negara itu sendiri,” katanya.
Najib berkata Malaysia bersedia berkongsi pengalamannya dalam meminggirkan ekstremisme, menjamin keamanan negara dengan penduduknya yang berbilang kaum dan agama dapat hidup bersama-sama dengan harmoni dan makmur, dan membuktikan Islam bukan sahaja berjaya malah memacu kemajuan dan pembangunan dalam sebuah masyarakat majmuk.
#ideologi #militan #najib #Pertubuhan Bangsa Bersatu #UNGA
;