PM musykil orang Kelantan tidak sumbang kepada pembangunan negeri
Nursyazwani Saiful Sham
September 1, 2018 14:28 MYT
September 1, 2018 14:28 MYT
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berasa musykil atas kemampuan rakyat dari Kelantan yang mampu menempa nama dalam pelbagai bidang terutamanya perusahaan dan perniagaan tetapi tidak menyumbang semula kepada pembangunan negeri asal mereka.
Tambahnya, timbul persoalan sama ada persekitaran di Kelantan yang menyebabkan rakyatnya tidak dapat membangunkan negeri mereka.
“Saya tidak tahu mengapa, rakyat Kelantan begitu cekap berniaga tapi tidak melakukannya di Kelantan sebaliknya berniaga di negeri lain.
“Saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Maka kita perlu kaji semula sama ada betul atau tidak tiada pertolongan dari kerajaan pusat kerana tanpa bantuan daripada kerajaan pusat. Kerajaan Kelantan sebenarnya tidak mampu untuk menguruskan negeri dan pentadbiran negeri itu.
“Sekiranya perkara ini dapat diperbetulkan, saya percaya rakyat Kelantan dapat membangunkan semula Kelantan untuk menjadi lebih pesat dari tempat lain,” katanya sempena sesi dialog Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018.
Mengenai ECRL, Perdana Menteri mengulangi pendiriannya bahawa kerajaan tidak mampu menampung perbelanjaan projek tersebut buat masa ini dan menangguhkan sehingga mempunya dana yang mencukupi.