PM Muhyiddin ucap Selamat Hari Wesak

Bernama
Mei 26, 2021 12:03 MYT
Elakkanlah daripada meninggalkan rumah kecuali atas urusan-urusan penting, kata Perdana Menteri. - Facebook Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan Selamat Hari Wesak kepada semua penganut agama Buddha dan berharap perayaan itu dapat diraikan dalam norma baharu bersama ahli keluarga di rumah dengan suasana yang ceria.
Muhyiddin berharap perayaan tahun ini dapat memberi semangat dan iltizam baharu kepada semua penganut agama itu supaya terus cekal dalam mengharungi segala cabaran demi kebaikan bersama dan masa depan negara yang lebih cerah.
"Dalam kita berhadapan dengan situasi pandemik yang luar biasa ketika ini, sama-samalah kita amalkan 'self lockdown' atau kawalan pergerakan kendiri dan juga keluarga untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
"Elakkanlah daripada meninggalkan rumah kecuali atas urusan-urusan penting. Bagi mengurangkan perkumpulan beramai-ramai bersempena perayaan, patuhilah arahan hanya ketua agama dan jawatankuasa pengurusan kuil sahaja dibenarkan mengunjungi rumah ibadat," katanya dalam kenyataan menerusi akaun rasmi Facebooknya.
Beliau menyeru supaya rakyat bersama-sama mematuhi prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berkuat kuasa pada ketika ini untuk membendung penularan COVID-19 agar wabak itu segera berakhir.
"Ini bagi membolehkan kita dapat kembali meraikan perayaan-perayaan di negara kita dengan meriah seperti dahulu," katanya.
-- BERNAMA
#Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #COVID-19 #pandemik #perintah kawalan pergerakan #Selamat Hari Wesak #Hari Wesak #Buddha #perkumpulan #SOP #perayaan #ketua agama #kuil #rumah ibadat
;