PM Muhyiddin sembuh sepenuhnya, kongsi pengalaman berjuang lawan kanser

Astro Awani
Februari 4, 2021 19:10 MYT
Muhyiddin juga menjelaskan, beliau telah disahkan pulih sepenuhnya dari penyakit kanser yang dihidapinya pada tahun 2018. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sempena Hari Kanser Sedunia hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan orang ramai agar melakukan ujian saringan kesihatan secara berkala bagi mengelakkan kanser dikesan lewat.
Saranan dibuat Perdana Menteri dalam hantaran menerusi akaun Facebook rasmi beliau dimana beliau turut berkongsi pengalamannya berhadapan penyakit kanser.
Di hantaran itu beliau memaklumkan telah disahkan pulih sepenuhnya dari penyakit itu dan selaku bekas pesakit beliau memahami keperitan serta kesukaran yang ditanggung pesakit kanser dalam melawan penyakit tersebut.
"Alhamdulilah, saya bersyukur kepada Allah SWT setelah menjalani rawatan, saya telah disahkan pulih.
"Kata-kata perangsang dan dorongan keluarga menguatkan semangat saya untuk terus berjuang dan menghadapi penyakit ini.
"Selain rawatan yang komprehensif, pengesanan awal serta tindakan mendapatkan rawatan dengan cepat, dapat meningkatkan peluang kepada pesakit untuk sembuh," katanya.
Jelas beliau, sekiranya disahkan menghidap kanser, orang ramai perlu segera melakukan rawatan dan jangan bertangguh atau takut.
"Apa jua penyakit, insya-Allah boleh dirawat dengan baik, sekiranya dikesan di peringkat awal dan dirawat dengan betul.
"Ramai pesakit kronik termasuk kanser yang saya kenali, berjaya melawan penyakit ini dan kini menjalani kehidupan seperti biasa.
"Jika anda sedang berjuang melawan kanser, kuatkan semangat - anda bukan menghadapinya seorang diri. Sempena Hari Kanser Sedunia hari ini, saya mengajak seluruh masyarakat untuk memainkan peranan masing-masing dalam mencegah dan mengawal penyakit ini. Amalkan gaya hidup sihat," katanya lagi.
Sumber Facebook ts.muhyiddin
#Muhyiddin Yassin #kanser #rawatan #ujian saringan #Pulih #hari kanser sedunia #bebas kanser #Muhyiddin sahkan bebas kanser
;