PM Muhyiddin akui PKP langkah luar biasa, namun bangga dengan displin tinggi rakyat
Firdaus Azil
April 25, 2020 22:07 MYT
April 25, 2020 22:07 MYT
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan satu langkah yang luar biasa memandangkan ia tidak pernah dibuat dalam sejarah negara sebelum ini.
Lebih menggusarkan hati Ahli Parlimen Pagoh itu, ialah mengenai penerimaan masyarakat memandang rakyat di negara ini tidak pernah dikekang pergerakan mereka sejak berzaman-zaman lamanya.
Namun Muhyiddin berkata, beliau amat berbangga melihat tahap kepatuhan rakyat Malaysia yang cukup tinggi, sekali gus menunjukkan sikap bertanggung jawab mereka untuk bersama-sama mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini.
“Tidak ada satu perkara yang boleh kita jadi rujukan sebagai contoh. Tapi dengan adanya kepatuhan kepada arahan kerajaan seperti jangan bergerak ke mana-mana, duduk diam di rumah, jaga kebersihan diri, saya fikir itu kesan yang paling baik.
“Kita dapat mengawal wabak itu merebak seperti mana yang kita lihat berlaku di sesetengah negara hingga menjadi agak di luar kawalan, tetapi Malaysia agak sudah dikatakan terkawal,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam satu wawancara eksklusif bersama Editor Astro AWANI Essan Yahya, dan penyampai berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) Zaleha Khairene Ismail di Bangunan Putra Perdana, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan yang diketuainya tidak akan terhenti di situ, sebaliknya mereka juga harus meningkatkan lagi usaha dalam memastikan bagaimana memastikan kehidupan masyarakat terjamin ketika pasca-PKP.
“Kesan daripada langkah itu ialah, ramai rakyat yang tidak mampu untuk menjalankan urusan harian...tidak boleh bekerja, tidak boleh berniaga, orang seperti Makcik Kiah ke, Pak Salleh ke, siapa pun yang kita sebutkan dalam ucapan saya tu...itu satu daripada petanda kesannya.
“Jadi apa dia cabarannya? Cabaran nak menguruskan … satu the life of our people, secondly the livelihood of our people, iaitu kehidupan mereka.
"Bagaimana kita nak menangani masalah sebegitu. Sebab itu sebagaimana yang kita tahu, ada langkah-langkah susulan yang kita telah ambil untuk menangani dan mengatasi masalah itu,” katanya lagi.
#koronavirus
#Muhyiddin Yassin
#Perdana Menteri
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#PM
#rakyat Malaysia