PM minta agar sistem saliran dan pengairan di Kota Tinggi dinaik taraf - Halimah
Astro Awani
Januari 5, 2021 14:43 MYT
Januari 5, 2021 14:43 MYT
KOTA TINGGI: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar sistem saliran dan pengairan di bandar Kota Tinggi Johor dinaik taraf.
Malah kajian berhubung bencana itu di kawasan bandar itu juga perlu dijalankan.
Perkara itu disampaikan Muhyiddin kepada Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique semasa lawatan terhadap mangsa banjir di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Kolej Vokasional Kota Tinggi dan Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana di sini hari ini.
Halimah berkata banjir buruk pernah melanda bandar Kota Tinggi sekitar penghujung tahun 2006 untuk tempoh lebih sebulan yang menyebabkan Kota Tinggi lumpuh.
"Tadi Perdana Menteri telah memberikan kenyataan bahawa masalah air ini kita kena selesaikan, tidak boleh tunggu sampai air hilang sendiri diserap tanah.
"Tumpuan diberikan untuk tingkatkan lagi usaha masalah air bertenang di kawasan bandar agar dapat diselesaikan,” katanya ketika ditemui selepas lawatan Perdana Menteri di PPS SK Laksamana, di sini hari ini.
Jelas Halimah lagi, banjir di Kota Tinggi secara umumnya berpunca dari hujan lebat berterusan dan pertembungan air pasang besar.
Namun, dengan faktor sistem pengairan dan saliran yang lama, air banjir akan bertakung dalam tempoh yang lama.
Peruntukan lebih besar juga katanya perlu diberikan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi melancarkan kerja-kerja mendalamkan sungai dan sebagainya dengan Kota Tinggi menjadi keutamaan.
#Muhyiddin Yassin
#PPS
#Kota Tinggi
#banjir
#Perdana Menteri
#pusat pemindahan
#menteri
#Parlimen
#mangsa banjir
#Halimah Mohamed Sadique