PM, menteri sertai pemukiman, bincang hala tuju negara

Ridauddin Daud
Januari 15, 2023 12:58 MYT
Difahamkan, pemukiman itu akan membincangkan soal hala tuju dan penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) setiap kementerian. - Fath Rizal /Prime Ministers Office of Malaysia
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menteri-menteri berkumpul di Kompleks Seri Perdana, di sini pada Ahad bagi menghadiri sesi permukiman bersama barisan jemaah menteri.
Kenderaan beliau diihat memasuki bangunan pada jam 9.15 pagi yang mana sebelum itu turut kelihatan beberapa kenderaan menteri memasuki bangunan sama seawal jam 8.10 pagi.
Difahamkan, pemukiman itu akan membincangkan soal hala tuju dan penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) setiap kementerian, dan telah bermula pada jam 8.30 pagi tadi.
Pertemuan itu hadir tidak sampai dua bulan selepas semua menteri memasuki kementerian masing-masing dan mula menjalankan tugas di bawah Kerajaan Perpaduan dipimpin Ahli Parlimen Tambun itu.
Selain Anwar, antara yang hadir ialah kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Selain itu, ia turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Difahamkan, satu kenyataan media berhubung pemukiman itu akan dikeluarkan kira-kira jam 4.30 petang ini selepas sesi tersebut selesai.
Sebelum ini, Perdana Menteri dilapor berkata, satu program permukiman akan diadakan untuk jemaah menteri bagi menetapkan KPI setiap kementerian.
Selain itu, ia juga bertujuan mendapatkan input daripada menteri setelah lebih sebulan memikul tanggungjawab dan mengemukakan perkara yang dapat dilakukan atau diperbaiki.
#pemukiman #Anwar Ibrahim #menteri Kabinet #Kerajaan Perpaduan
;