PM melawat Singapura esok

Marlina Manaf
Februari 17, 2013 12:24 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan bertemu rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong sempena sesi pemukiman pemimpin-pemimpin Malaysia-Singapura kali yang ke-4 yang akan berlangsung di republik itu esok.
Pertemuan kali ini akan tertumpu kepada perkembangan kerjasama yang sedang berlangsung, di samping meneroka inisiatif-inisiatif baru ke arah memperkukuhkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin.
Selain agenda pertemuan empat mata, kedua-dua pemimpin juga dijadual melawat pembangunan projek di Iskandar Malaysia di Johor, pada Selasa.
Dalam lawatan dua hari itu, Najib dan Hsien Loong dijadual melancarkan beberapa projek yang dibangunkan bersama oleh Khazanah Nasional Berhad dan Temasek Holdings (Private) Limited.
Pembangunan-pembangunan bersama tersebut terdiri daripada projek Marina One dan projek DUO yang dilaksanakan oleh M+S Pte Ltd di Singapura serta projek Urban Wellness dan projek Resort Wellness oleh Pulau Indah Ventures Sdn Bhd di Iskandar Malaysia.
Sepanjang lawatan singkat itu, Najib akan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman serta beberapa menteri kabinet dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Sesi pemukiman itu merupakan forum dua hala peringkat tertinggi bagi membincangkan pelbagai isu dua hala dan serantau yang berkepentingan bersama kepada Malaysia dan Singapura. Ia dihoskan berganti-ganti oleh kedua-dua negara sejak sesi pertamanya di Langkawi pada 2007.
Lazimnya, tiada sebarang agenda perbincangan ditetapkan semasa sesi pemukiman. Ia bertujuan membolehkan kedua-dua pemimpin tertinggi kerajaan ini membincangkan apa saja perkara tanpa sekatan atau bantahan.
Satu kenyataan bersama akan dikeluarkan selepas sesi pemukiman tersebut.
#Datuk Seri Najib Tun Razak #hubungan #Khazanah Nasional Berhad #Lee Hsien Loong #Perdana Menteri #Singapura #Temasek Holdings (Private) Limited
;