PM mahu rakyat mainkan peranan promosikan inovasi
Haider Yutim
November 13, 2013 13:50 MYT
November 13, 2013 13:50 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggesa setiap rakyat agar memainkan peranan dalam mempromosikan serta menyerap pemikiran inovatif.
Menurutnya ia adalah satu persekitaran yang membolehkan orang ramai menjangkaui had dan pencapaian mereka bagi mempengaruhi pembangunan sosio-ekonomi komuniti setempat dan jauh.
"Daripada senarai jurucakap, panelis dan barisan fasilitator yang ternama... pastinya ia akan menjadi satu sidang yang luar biasa," kata Najib dalam satu pesanan khas melalui video yang telah ditayangkan di World Innovation Forum Kuala Lumpur 2013 (WIF-KL2013).
Katanya, Malaysia sememangnya platform yang sesuai untuk perhimpunan sebegini dan beliau bangga bahawa negara telah menjadi tuan rumah untuk pembuat-pembuat dasar serta pemikir dari serata dunia.
Perdana Menteri dijadualkan untuk hadir forum namun tidak dapat meneruskan niat tersebut disebabkan urusan lain.
WIF-KL2013 yang dilancarkan hari ini oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin, menghimpunkan pemain indistri, pemikir dan penginovasi dari seluruh dunia bermula 12 November hingga 14 November 2013.
Ia dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan juga Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) di mana ia merupakan forum untuk membincangkan pengalaman, isu serta strategi untuk inovasi
inklusif.