PM mahu penugasan penguat kuasa pelbagai agensi diselaras, ketirisan ditangani secara berkesan

Bernama
Ogos 23, 2024 19:55 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu penugasan badan penguat kuasa pelbagai agensi diselaras dengan baik supaya ketirisan dan kebocoran hasil negara dapat ditangani secara berkesan. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu penugasan badan penguat kuasa pelbagai agensi diselaras dengan baik supaya ketirisan dan kebocoran hasil negara dapat ditangani secara berkesan.
Beliau berkata ini kerana tugas membanteras aktiviti penyeludupan, yang merupakan antara punca ketirisan dan kebocoran hasil negara, bukan mudah kerana melibatkan kelompok samseng berpengaruh serta bersenjata.
"Sebab itu, semua langkah ini kita minta penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Jabatan Imigresen harus ada penyelarasan berkesan," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada majlis perjumpaan khas bersama pegawai penguat kuasa KPDN.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali serta Timbalannya Fuziah Salleh dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar berkata Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam perlu memiliki jaringan hubungan baik dengan agensi lain dalam memastikan operasi dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Beliau berkata sekiranya Badan Penguat Kuasa KPDN berdepan masalah, ia perlu disuarakan kepada Armizan dan Ketua Setiausaha KPDN Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar agar dapat dibawa serta diselesaikan di peringkat Jemaah Menteri.
Perdana Menteri juga berkata tindakan kerajaan dalam melaksanakan penyelarasan subsidi diesel dan pengapungan harga ayam adalah kerana yakin dengan badan penguat kuasa.
"Oleh kerana kita yakin dengan badan penguat kuasa khususnya apa yang saudara lakukan, kita ambil keputusan laksanakan pengapungan dan selamatkan dana kerajaan sekitar RM1.2 bilion setahun," katanya.
Beliau berkata keputusan itu membuahkan hasil sama seperti pengawalan harga barang agar tidak membebankan rakyat.
"Justeru langkah yang diambil oleh Kementerian Kewangan dalam Belanjawan MADANI pada Oktober ini antara paksinya ialah menangani permasalahan kos sara hidup walaupun inflasi dua hingga tiga peratus.
"Kita terima kenyataan itu kerana ihsan. Dalam pembangunan dan kerangka MADANI, kemampanan dan tindakan mesti dengan ihsan," katanya.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri Anwar Ibrahim #penugasan penguat kuasa #diselaras #ketirisan
;