PM mahu pengiktirafan timbal balik sijil vaksin COVID-19 dengan Singapura diterus, dimuktamadkan
Faris Danial Razi
Mac 23, 2021 20:28 MYT
Mac 23, 2021 20:28 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru agar kerjasama di peringkat teknikal bagi cadangan pengiktirafan timbal balas terhadap sijil vaksin COVID-19 dapat diteruskan dan dimuktamadkan pada masa hadapan.
Beliau dalam satu kenyataan di Facebook, turut menzahirkan harapan agar beberapa sekatan berupa penangguhan terhadap pengaturan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua negara sebelum ini dapat segera ditamatkan.
"Ia merangkumi pengaturan timbal balas perjalanan Reciprocal Green Lane (RGL), pengaturan perjalanan berkala Periodic Commuting Arrangement (PCA), dan pengaturan perjalanan harian Daily Commuting Arrangement (DCA)," katanya sempena menerima kunjungan hormat Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, pada Selasa.
Dalam pertemuan itu, mereka turut berbincang mengenai pelbagai aspek hubungan dua hala Malaysia-Singapura melibatkan bidang seperti perdagangan, pelaburan dan kesihatan.
Selain itu, mereka turut mengambil kesempatan membangkitkan mengenai keadaan semasa di Myanmar dan hala tuju ASEAN dalam menangani krisis ini.
Terdahulu, Dr Vivian sempena lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari itu juga sempat menyerahkan surat jemputan daripada Perdana Menteri Singapura kepada Muhyiddin untuk menghadiri Pemukiman Pemimpin Tahunan Malaysia-Singapura kali ke-10.
Turut hadir di pihak Malaysia, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.
#Muhyiddin Yassin
#Hishammuddin Hussein
#Department of Civil Aviation Malaysia
#ASEAN
#Singapura
#Perdana Menteri
#kerajaan
#COVID-19
#Kementerian Luar
#rakyat
#vaksin
#Myanmar
#pelaburan