PM mahu KPDNHEP, agensi berkaitan pantau kenaikan harga barang

Ridauddin Daud
April 23, 2021 12:31 MYT
Muhyiddin (tiga dari kiri) dalam Majlis Amanat Perdana Menteri sempena lawatan beliau ke KPDNHEP & Pusat Arahan Penguatkuasaan Putrajaya hari ini. - Astro AWANI / SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan lain-lain agensi berkaitan perlu berganding bahu dalam memantau kenaikan harga barangan di pasaran.
Tegas beliau, kerajaan perlu memastikan aktiviti tidak beretika yang menekan dan membebankan pengguna dapat dibanteras dengan lebih menyeluruh dan berkesan.
Tambah Muhyiddin, pada masa sama, rakyat juga diseru memainkan peranan aktif untuk menyalurkan maklumat kepada pihak kerajaan.
"Kerajaan menyedari tindakan sebilangan pemborong atau peniaga yang mengambil kesempatan dengan sewenangnya menaikkan harga barangan keperluan pada musim-musim tertentu.
"Sejak akhir-akhir ini kita sering mendengar banyak keluhan daripada rakyat mengenai dakwaan kenaikan harga barangan keperluan utama apabila datangnya bulan Ramadan dan kelak apabila menjelangnya musim perayaan.
"Kenaikan harga barang sudah tentunya membebankan pengguna, terutamanya golongan berpendapatan rendah, peniaga dan penjaja kecil," katanya.
Muhyiddin juga menyambut baik tindakan KPDNHEP melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang bermula pada 21 April lepas.
"Ia adalah salah satu langkah menyekat kenaikan harga barangan keperluan semasa bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri kelak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap selepas melawat Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut memuji pelaksanaan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia (KBBM) dan Program Jualan Malaysia (PJM) yang telah membuahkan hasil.
"Sektor perdagangan pengedaran telah mencatatkan nilai jualan sebanyak RM1.248 trilion pada tahun 2020, iaitu penguncupan hanya 5.88 peratus dari nilai jualan pada tahun 2019 (RM1.326 trilion).
"Hakikat ini jelas membuktikan bahawa pelaksanaan program secara bersasar oleh kerajaan dapat membantu ke arah pemulihan ekonomi negara ke tahap yang pernah kita kecapi sebelum ini," katanya.
#pengguna #KPDNHEP #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #harga barang #konsumer #Ramadan #hari raya #Aidilfitri #kerajaan
;