PM lancar fasa pertama MRT, perkhidmatan percuma sehingga 16 Januari
Hilal Azmi
Disember 15, 2016 16:07 MYT
Disember 15, 2016 16:07 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak petang ini melancarkan Fasa Pertama MRT laluan Sungai Buloh-Kajang di stesen MRT Kwasa Damansara.
Perdana Menteri dalam ucapan perasmiannya berkata, pojek MRT itu merupakan satu pencapaian bukan sahaja kepada sistem pengangkutan sedia ada malah sebagai satu batu loncatan kepada kemajuan negara.
"Hari ini bukan sahaja hari teristimewa bagi kita, tetapi lebih daripada itu. Projek MRT akan memartabatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dengan sistem pengangkutan yang moden.
“Saya begitu gembira berpeluang menyaksikan kemajuan projek ini dari tanah kosong sehingga menjadi stesen yang indah dan lengkap," kata beliau di sini hari ini.
Perdana Menteri turut mengumumkan tambang dan perkhidmatan bas perantara percuma selama sebulan bermula esok sehingga 16 Januari 2017 bagi fasa pertama MRT.
Ia sebagai hadiah kepada rakyat sempena Tahun Baharu.
"Sebagai hadiah kepada rakyat bagi Tahun Baharu serta memberi peluang kepada rakyat untuk mencuba kemudahan pengangkutan awam yang baharu, moden dan efisien, saya mengumumkan bahawa Rapid Rail akan memberi perkhidmatan MRT percuma selama sebulan mulai esok sehingga 16 Januari ini.
"Ia termasuklah perkhidmatan bas pengantara. Tambang hanya akan dikenakan bermula 17 Januari ini," katanya lagi.
Kerajaan juga kata beliau telah dapat menjimatkan RM2 bilion kos projek MRT daripada RM23 bilion kepada RM21 bilion.
Turut hadir di majlis pelancaran petang tadi ialah Timbalan Perdana Menteri Nepal, Krishna Bahadur Mahata; Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani; dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar, turut hadir.
Selesai majlis perasmian, beliau bersama hadirin yang hadir mengambil kesempatan menaiki MRT dari Stesen Kwasa Damansara ke Sungai Buloh sebelum berpatah balik sebagai penutup majlis perasmian.
Perkhidmatan bagi fasa pertama akan bermula pada pukul 6 pagi esok, membabitkan 12 stesen di antara Sungai Buloh dan Semantan.
Inisiatif ini memberi pengguna pilihan, sama ada menggunakan bas pengantara untuk ke stesen MRT dan seterusnya destinasi akhir di dalam bandar, atau memandu kenderaan persendirian dan menggunakan kemudahan Park-And-Ride yang disediakan di beberapa stesen MRT terpilih.
Stesen terbabit adalah Sungai Buloh; Kampung Selamat; Kwasa Damansara; Kwasa Sentral; Kota Damansara; Surian; Mutiara Damansara; Bandar Utama; Taman Tun Dr Ismail; Phileo Damansara; Pusat Bandar Damansara and Semantan merangkumi jarak 21 kilometer.
Bagi Fasa 1 MRT Laluan SBK, sebanyak 112 bas pengantara turut disediakan di stesen-stesen dengan laluannya termasuk kawasan tumpuan dan kawasan perumahan.
Sementara fasa kedua sejauh 30 kilometer membabitkan 19 stesen dari Semantan ke Kajang dijangka beroperasi sepenuhnya bermula 31 Julai 2017.