PM kunjungi bazar Ramadan di Taman Desa Ilmu, Kota Samarahan

Bernama
Mac 30, 2024 19:45 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan para peniaga ketika melawat Bazar Ramadan Desa Ilmu hari ini. - Foto BERNAMA
KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa meninjau Bazar Ramadan di Taman Desa Ilmu, Kota Samarahan.
Perdana Menteri, yang diiringi oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mengambil peluang beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung bazar selama kira-kira 20 minit.
Anwar, yang tiba di bazar Ramadan itu pada 5.15 petang, turut diiringi oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek serta Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.
Bazar Ramadan Desa Ilmu adalah antara yang paling mendapat sambutan terutama dalam kalangan pengunjung dari Semenanjung yang bertugas di Sarawak kerana peniaga di situ turut menawarkan juadah seperti nasi kerabu, pasembor dan soto.
Selepas meninjau bazar Ramadan itu, Anwar dijadual menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI Sarawak di Masjid Al-Muttaqin, Kota Samarahan yang dijangka turut disertai oleh Abang Johari.
Sebelum itu, Perdana Menteri menghadiri taklimat Pembangunan Sarawak di Pejabat Pengairan dan Saliran Kota Samarahan.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri #Bazar Ramadan #Taman Desa Ilmu #Kota Samarahan
;