PM: Kerjasama ASEAN dan G20 menyumbang kepada pertumbuhan mapan dunia
Bernama
November 16, 2015 11:09 MYT
November 16, 2015 11:09 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ASEAN dan Kumpulan 20 (G20) boleh bekerjasama untuk mencetus kadar pelaburan yang lebih tinggi dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dunia secara mapan.
"ASEAN bersetuju bahawa G20 boleh membantu pertumbuhan ekonomi dunia secara seimbang dan mapan," katanya pada sidang akhbar selepas sesi kerja makan malam sempena Sidang Kemuncak G20 ke 10 di sini, sebelum berlepas pulang ke tanah air.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN kepada para pemimpin G20 semasa sesi kerja mengenai pertumbuhan inklusif yang membincangkan soal ekonomi global, strategi-strategi pertumbuhan dan pelaburan serta pekerjaan.
Pada sesi tersebut, Najib menyatakan betapa ASEAN merupakan rantau yang paling dinamik di dunia, yang menyumbang enam peratus kepada pertumbuhan ekonomi global.
Bukan sekadar mempunyai kelebihan pasaran dengan jumlah penduduk seramai 600 juta orang, malah katanya, pertambahan golongan kelas pertengahan bermakna bahawa permintaan untuk produk-produk juga akan meningkat.
Menurut Najib, ASEAN akan lebih berdaya saing apabila Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) menjadi kenyataan kerana kewujudan pasaran bersepadu tunggal itu membolehkan aliran barangan, perkhidmatan, modal serta pekerja mahir, yang lebih baik.
Langkah ini, katanya, telah membuahkan kesan positif apabila jumlah dagangan ASEAN berkembang lebih 30 peratus dalam tempoh lima tahun kebelakang ini.
Kita tidak akan terhenti setakat itu, malah ASEAN akan memberi tumpuan kepada penghapusan halangan bukan tarif, liberalisasi yang lebih luas dalam bidang perkhidmatan, promosi pelaburan serta integrasi pasaran kewangan dan modal, katanya.
Najib turut menyatakan kepada para pemimpin G20 bahawa ASEAN percaya terhadap konsep 'rasionalisme terbuka' dengan pelbagai bentuk Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dimeterai dengan negara-negara ketiga.
Di samping itu, terdapat juga FTA secara multilateral seperti Perkongsian Trans Pasifik (TPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang merupakan satu rangka program ekonomi serantau yang disokong oleh ASEAN.