PM, Kerajaan mohon batal saman berhubung tuntutan Pulau Batu Puteh

Bernama
Mac 1, 2022 05:10 MYT
Turut dipohon satu perintah untuk memastikan dokumen sulit tidak dikategorikan sebagai umum. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia memohon untuk membatalkan saman yang difailkan seorang individu berhubung penarikan balik semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Hague, Belanda berkaitan tuntutan Pulau Batu Puteh.
Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly, yang mewakili Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia selaku defendan, berkata permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.
"Pada pengurusan kes pada Selasa secara dalam talian di hadapan Penolong Pendaftar Haslinda A.Raof, mahkamah menetapkan 15 Mac untuk pengurusan kes selanjutnya," katanya ketika dihubungi semalam.
Peguam Mohaji Selamat, yang mewakili Mohd Hatta Sanuri selaku plaintif, ketika dihubungi pula berkata pada Selasa, pihaknya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Jan lepas yang membenarkan permohonan perintah perlindungan dipohon Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia supaya dokumen dalam kes saman itu tidak didedahkan kepada pihak yang tidak terlibat dalam kes tersebut.
Notis permohonan perintah perlindungan menyebut Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia antaranya memohon perintah bahawa semua material serta dokumen yang dikemukakan sebagai eksibit dalam permohonan interlokutari serta perbicaraan hanya boleh didedahkan kepada pihak terlibat dalam kes itu, peguam yang mewakili plaintif dan defendan, saksi perbicaraan serta yang difikirkan perlu oleh mahkamah.
Turut dipohon satu perintah untuk memastikan dokumen sulit tidak dikategorikan sebagai umum dan tidak boleh dibuka untuk pemeriksaan atau apa-apa salinan dalam apa jua bentuk termasuk pemeriksaan dalam talian secara e-filing selain prosiding dan perbicaraan kes itu dijalankan secara tertutup.
Permohonan itu dibuat atas alasan antaranya dokumen dan maklumat yang akan didedahkan dalam kes saman itu adalah berstatus dokumen berperingkat serta bertaraf rahsia besar di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
Pada 2018, Kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan ICJ sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.
Pada 28 Mei tahun lepas, Mohd Hatta, 46, memfailkan tindakan saman itu mewakili dirinya dan lebih 32 juta rakyat Malaysia yang terkesan dengan penarikan balik semakan semula keputusan ICJ oleh kedua-dua defendan tanpa membincangkan dan membentangkannya terlebih dahulu di Parlimen.
Pernyataan tuntutan Mohd Hatta memohon perintah supaya kedua-dua defendan memberi penjelasan bertulis mengapa mereka menarik diri daripada semakan semula keputusan ICJ dengan tuntutan Pulau Batu Puteh terhadap Singapura pada 1 Jun 2018 sedangkan ia telah dimulakan dan difailkan sejak 3 Feb 2017.
Beliau turut memohon deklarasi bahawa kedua-dua defendan membayar ganti rugi kepada setiap rakyat Malaysia berdasarkan nilai tanah Pulau Batu Puteh dan berdasarkan kerugian ekonomi yang dialami seluruh rakyat Malaysia termasuk plaintif secara sama rata berjumlah paling kurang RM10 juta.
Turut dimohon perintah supaya kedua-dua defendan mendedahkan secara terperinci jumlah semua kos yang telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk persediaan permohonan semakan semula keputusan ICJ pada 3 Feb 2017 sehingga tarikh mereka menarik diri secara tiba-tiba pada 1 Jun 2018.
-- BERNAMA
#Pulau Batu Puteh #ICJ #Mahkamah Tinggi #Ahmad Hanir Hambaly
;