PM: Kerajaan akan lihat keperluan kaji hubungan diplomatik dengan Korea Utara

Harits Asyraf Hasnan
Mac 6, 2017 14:13 MYT
Pengisytiharan Duta Korea Utara, Kang Chol sebagai Persona Non Grata dibuat atas prinsip Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat. - Gambar Bernama
Kerajaan akan melihat sama ada wujud keperluan untuk mengkaji hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Namun, Perdana Menteri berkata Malaysia akan mengambil satu langkah dalam satu masa.
"Kita akan lihat. Kita akan ambil satu langkah dalam satu masa," katanya ringkas ketika ditanya media berhubung cadangan memutuskan hubungan diplomatik dengan Korea Utara di lobi Parlimen di sini.
Tambah Najib, pengisytiharan Duta Korea Utara, Kang Chol sebagai Persona Non Grata dibuat atas prinsip Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.
"(Persona Non Grata) itu keputusan yang kita buat atas soal prinsip. Maknanya kita sebuah negara yang berdaulat dan sesiapa yang dihantar ke Malaysia mestilah menghormati negara kita.
"Kalau dia (Kang Chol) buat tuduhan yang melulu, tidak berasas maka dia sepatutnya meminta maaf dan menarik balik kenyataan tersebut tapi dia enggan berbuat demikian.
"Maka berdasarkan pada prinsip, kita telah ambil tindakan isytihar dia sebagai persona non grata.
"Ini bererti bahawa kita memang tegas dalam soal maruah kita, kedaulatan kita, tidak ada sesiapa boleh menghina negara kita ataupun memperkotak-katikkan negara kita dengan sewenang-wenangnya," tegas Najib.
Ia jelas menunjukkan jika Pyongyang terus dengan sikapnya dengan membuat pelbagai tuduhan maka tindakan itu adalah wajar demi mempertahankan imej dan kedaulatan negara.
Perdana Menteri berkata demikian bagi mengulas keadaan semasa berhubung isu kematian Kim Jong Nam.
Jong Nam yang juga abang tiri pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong Un, mati dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu.
Pembunuhan itu mencetuskan perbalahan diplomatik antara kedua-dua negara apabila Korea Utara memberikan beberapa kenyataan bersifat tuduhan.
Perkembangan itu turut menyaksikan Wisma Putra memberi tempoh 48 jam yang akan berakhir petang ini kepada Duta Korea Utara, Kang Chol, supaya meninggalkan Malaysia.
#Korea Utara #Malaysia #Najib Tun Razak #persona non grata
;