PM ke-10: Berita pelantikan Anwar tersebar ke seluruh dunia

Bernama
November 24, 2022 23:52 MYT
Anwar, 75, dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas baginda mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Raja-raja Melayu di Istana Negara (Istana Negara) pagi Khamis. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Berita mengenai pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia tersebar ke seluruh dunia.
Media utama di seluruh dunia menyerlahkan pelantikan itu - menandakan berakhirnya kebuntuan politik susulan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu lepas yang menyaksikan Parlimen tergantung yang belum pernah berlaku sebelum ini, yang turut mendapat liputan meluas media antarabangsa. Ia juga menandakan perjuangan Anwar selama tiga dekad akhirnya berhasil.
Anwar, 75, dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas baginda mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Raja-raja Melayu di Istana Negara (Istana Negara) pagi Khamis.
Antara organisasi media yang menyiarkan berita mengenai pelantikan Anwar adalah BBC, CNN, Xinhua, CGTN, Nikkei Asia, Berita Antara Indonesia dan CNA Singapura. Reuters, Al Jazeera serta agensi berita antarabangsa lain turut menulis mengenai pelantikan itu.
"Anwar Ibrahim named Malaysian PM after post-election crisis", kata tajuk artikel di laman sesawang BBC.
Dalam tajuk lain "Anwar Ibrahim: The man who fulfilled his goal to lead Malaysia", oleh BBC menceritakan perjuangan politik Anwar dalam tempoh lebih 20 tahun dan kebangkitannya ke jawatan tertinggi negara itu.
"Namun Encik Anwar masih berhadapan cabaran, untuk menyatukan gabungan pemerintah yang boleh dilaksanakan - dan sudah pasti akan menghadapi kesukaran dalam mempromosi Malaysia yang lebih majmuk, inklusif, dalam menghadapi kebangkitan Islamisme" .
Reuters menyiarkan sekurang-kurangnya empat berita berkaitan pelantikan Anwar ke jawatan perdana menteri dengan yang pertama bertajuk "Malaysia's Anwar becomes prime minister, ending decades-long wait".
South China Morning Post (SCMP) mengetengahkan berita dengan tajuk "Opposition leader no more: Anwar Ibrahim is Malaysia's 10th prime minister".
Memetik Ngeow Chow Bing, pengarah Institut Pengajian China di Universiti Malaya, SCMP melaporkan bahawa hubungan Malaysia-China akan kekal stabil dengan "ruang untuk penambahbaikan dan peningkatan" di bawah kepimpinan Anwar.
"Berbeza dengan pesaing utamanya Muhyddin, Anwar mempunyai lebih banyak pendedahan antarabangsa dan beliau akan menumpukan lebih banyak tenaga dalam urusan antarabangsa," kata Ngeow kepada This Week in Asia, sambil menambah beliau menjangkakan pentadbiran baharu akan menunjukkan "lebih banyak inisiatif pada dasar luar".
"Walaupun Anwar diketahui mempunyai hubungan baik dengan ahli politik dan pegawai Amerika dan secara umumnya dilihat sebagai mesra Amerika, "itu tidak benar-benar menunjukkan pendekatan dasar beliau terhadap China", kata Ngeow yang menambah kata bahawa perdana menteri baharu itu "diterima baik" oleh Menteri Luar China Wang Yi dan pegawai Beijing yang lain semasa lawatan pada 2018.
Sementara itu, CNA Singapura menyiarkan ulasan oleh pemerhati politik James Chin bertajuk: "Snap Insight: Anwar finally becomes Malaysia PM"- kejayaannya bergantung kepada siapa yang beliau lantik dalam Kabinetnya".
Chin juga berkata Anwar dan pentadbirannya akan berhadapan tugas berat dalam membina semula ekonomi negara.
"Portfolio ekonomi adalah yang paling rumit dengan senario kes terburuk bagi pentadbiran Anwar adalah kelembapan ekonomi. Malaysia akan berhadapan ekonomi yang sukar pada 2023, dengan penduduk mahukan pemulihan ekonomi selepas bertahun-tahun mengalami kesusahan akibat pandemik.
"Anwar mesti melaksanakannya dan memastikan ekonomi berada pada landasan yang betul - atau sebaliknya.
"Beliau bukan sahaja akan berhadapan kritikan yang orang Melayu tidak berkuasa. Kesan politik yang lebih buruk lagi adalah apabila penyokong utama PH - penduduk bandar - yang paling terkesan akibat kejatuhan ekonomi ekoran pandemik, mengharapkan ekonomi kembali kukuh berasa kecewa," katanya .
Harapan rakyat meningkat, saham Malaysia dan ringgit melonjak dengan penuh keyakinan selepas Anwar diumumkan sebagai ketua kerajaan baharu. Namun Anwar mungkin mempunyai kawalan terhad jika pertumbuhan lembap melanda ekonomi global," kata Chin dalam artikel itu.
Pasaran pada Khamis turut memberi reaksi positif terhadap pelantikan Anwar.
[LAPOR LANGSUNG] Pasca PRU15: Anwar Ibrahim Perdana Menteri ke-10 - Istana Negara
Bursa Malaysia meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh hampir tiga bulan hari ini, dengan indeks utama meningkat 4.04 peratus, berikutan sentimen pasaran yang menaik.
Pada 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 58.38 mata untuk ditutup pada 1,501.88 berbanding 1,443.50 pada penutupan Rabu.
Pasaran yang dibuka 7.18 mata lebih tinggi pada 1,450.68, paras terendah hariannya, bergerak dalam momentum yang rancak sepanjang hari dan mencecah paras tertinggi harian pada 1,502.11 dalam dagangan lewat.
Kedudukan pasaran menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 981 berbanding 197, manakala 256 kaunter tidak berubah, 899 tidak diniagakan dan 84 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat dengan mendadak kepada 6.87 bilion unit bernilai RM4.19 bilion berbanding 2.68 bilion unit bernilai RM1.63 bilion pada Rabu.
Anwar mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara pada pukul 5 petang, Khamis.
-- BERNAMA
#PM10 #Anwar Ibrahim #berita pelantikan Anwar #Perdana Menteri
;