PM ke-10: Anwar isytihar Isnin ini cuti umum
Astro Awani
November 24, 2022 22:01 MYT
November 24, 2022 22:01 MYT
KAJANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Isnin ini sebagai cuti umum.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pertamanya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, di Sungai Long Golf and Country Club di sini, pada Khamis malam.
"Saya sudah bincang dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali... dengan Yang di-Pertuan Agong kerana saya sudah janji untuk beri cuti... dan dianjak kepada Isnin depan" katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berkata, undi percaya akan menjadi usul pertama yang akan dibawa dalam sidang Parlimen yang dijadualkan pada 19 Disember depan.
Menurutnya, perkara tersebut dibuat untuk memastikan kerajaan pimpinannya mendapat kepercayaan setiap ahli Dewan Rakyat.
“Usul pertama yang akan dibawa oleh kerajaan perpaduan pimpinan saya adalah usul undi percaya.
“Keputusan ini diambil bagi memastikan tidak timbul isu mengenai keabsahan kepimpinan saya,” katanya.