PM: Jangan terpedaya pihak mendakwa ejen PR1MA

Bernama
Disember 17, 2014 08:08 MYT
NAJIB: Mereka ini menipu orang ramai yang kononnya mewakili PR1MA dan mengutip kutip sumbangan daripada orang ramai yang berkeinginan mahukan rumah mampu milik.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa mereka sebagai ejen Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), dengan mengenakan bayaran tertentu untuk memiliki rumah itu.
"Mereka ini menipu orang ramai yang kononnya mewakili PR1MA dan mengutip kutip sumbangan daripada orang ramai yang berkeinginan mahukan rumah mampu milik," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perumahan Negara di sini, Selasa.
Najib berkata pihak PR1MA telah membuat laporan polis mengenai perkara berkenaan.
"Saya harap agar orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan surat-surat yang dikeluarkan atas nama kononnya mereka ini mewakili PR1MA atau melaksanakan projek perumahan itu," katanya.
Sementara itu Pengerusi PR1MA Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis berkata pihaknya tidak pernah melantik mana-mana ejen bagi proses pembelian rumah berkenaan.
"Ada orang salah guna (projek PR1MA) kononnya bayar RM2,000 boleh dapat (permohonan) rumah PR1MA, tapi yang sebenarnya orang awam hanya perlumendapatkan permohonan secara online atau pergi pejabat kita isi borang, tidakkena apa-apa bayaran," katanya.
Beliau berkata mana-mana pemaju yang ingin bekerjasama dengan PR1MA juga diminta hadir berjumpa pihak pengurusan PR1MA sendiri untuk sebarang pertanyaan.
"Kita tak lantik wakil pemaju untuk buat rumah PR1MA atau ejen nak membeli rumah," katanya sambil menambah kerajaan memberi jaminan harga rumah PR1MA adalah 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran.
Kediaman PR1MA ditawarkan kepada semua rakyat Malaysia dengan pendapatan isi rumah purata bulanan antara RM2,500 hingga RM10,000.
#ejen #Najib Razak #PR1MA
;