PM, isteri terima Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif

Hilmi Malik
November 7, 2019 11:20 MYT
Dr Mahathir dianugerahi Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif (Pembangunan Kesenian Kebudayaan) oleh ASWARA. -Foto Astro AWANI/HIlmi Malik
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif (Pembangunan Kesenian Kebudayaan) oleh Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Turut menerima anugerah, isteri perdana menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang dianugerahi Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif (Promosi Seni Kreatif).
Penganugerahan itu sebagai penghargaan dan penghormatan tinggi terhadap jasa dan pengorbanan beliau dalam membangunkan serta melestarikan bidang kesenian, kebudayaan dan warisan.
Sementara itu, Dr Siti Hasmah menerima anugerah di atas sokongan serta usaha mengangkat industri seni persembahan tanah air.
Kedua-dua anugerah itu disampaikan bersempena dengan Istiadat Konvokesyen ASWARA ke-15 yang turut menyaksikan 171 graduan daripada tujuh fakulti menerima Ijazah Sarjana Muda hingga ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah Seni Kreatif.
Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Rektor ASWARA, Prof Madya Sahar Sa'di Hashim diiringi Menteri Pelancongan Seni Dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi yang berlangsung di ASWARA pada Khamis.
#Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan #Aswara #Dr Siti Hasmah Mohd Ali #Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif #Mahathir Mohamad #Pembangunan Kesenian Kebudayaan #Promosi Seni Kreatif
;