PM Ismail Sabri ucap takziah kepada keluarga bekas TYT Sarawak
Bernama
Januari 29, 2022 12:35 MYT
Januari 29, 2022 12:35 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng yang meninggal dunia malam tadi.
Perdana Menteri menyifatkan Tun Salahuddin sebagai seorang tokoh yang banyak berjasa untuk rakyat Sarawak dan pembangunan negeri itu.
"Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya bersama dengan roh orang yang beriman dan beramal soleh," katanya di dalam catatan di Facebooknya hari ini.
Tun Salahuddin, 100, yang merupakan individu pertama berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri sebanyak dua kali, meninggal dunia pada 11.47 malam tadi di Pusat Perubatan Normah di Kuching, Sarawak akibat sakit tua.
Lahir pada 27 Ogos 1921, beliau menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak dari 1977 hingga 1981 dan dilantik semula memegang jawatan itu pada 2001 hingga 2014.
-- BERNAMA