PM Ismail Sabri akan sampai kenyataan negara di UNGA
Bernama
September 23, 2022 00:26 MYT
September 23, 2022 00:26 MYT
NEW YORK: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menyampaikan Kenyataan Negara pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77, Jumaat.
Beliau dijadual memulakan ucapan di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 3.30 petang (3.30 pagi Sabtu waktu Malaysia).
Sesi petang prosiding hari ini akan dimulakan dengan ucapan oleh Perdana Menteri Antigua dan Barbuda Gaston Alphonso Browne, diikuti oleh rakan sejawatnya dari Iraq Mustafa Al-Kadhimi dan Ismail Sabri.
Ini adalah penampilan kedua Perdana Menteri di PBB, selepas menghadiri sesi ke-76 tahun lepas secara maya berikutan pandemik COVID-19.
Pada Selasa, Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah memberitahu media Malaysia bahawa Ismail Sabri dijangka berkongsi dalam ucapannya, beberapa pengalaman Malaysia dalam menangani pandemik dan cabaran global serta mengetengahkan beberapa penyelesaian kepada konflik global seperti situasi di Ukraine, Palestin dan Myanmar.
Saifuddin berkata tema sesi ke-77 itu, 'Detik Peralihan: Penyelesaian Transformatif kepada Cabaran Bersaling Kait', adalah tepat pada masanya dan membolehkan negara anggota memanfaatkan platform pelbagai hala itu untuk menangani isu yang dihadapi dunia.
Ucapan Perdana Menteri di UNGA itu akan disiarkan secara langsung di BERNAMA TV (Astro 502), www.bernama.com dan platform media sosial Bernama.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri
#ismail sabri yaakob
#ucapan
#UNGA
#Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu