PM ingatkan Malaysia amal sistem Raja Berperlembagaan bukannya raja berkuasa mutlak
Harits Asyraf Hasnan
April 10, 2019 18:34 MYT
April 10, 2019 18:34 MYT
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan bahawa Malaysia mengamalkan sistem demokrasi dan Raja Berperlembagaan, bukannya raja berkuasa mutlak.
Beliau menjelaskan, sistem Raja Berperlembagaan diamalkan sejak Persekutuan Tanah Melayu dibentuk.
“Perkara ini serius, kerana pada waktu kita bentuk Persekutuan Tanah Melayu kita perkenal undang-undang negara dan perlembagaan. Dalam perlembagaan kita telah nyatakan Persekutuan Tanah Melayu dan negeri-negeri dalam Persekutuan ini mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, bukan raja yang berkuasa mutlak.
“Kalau masih ada dalam undang-undang negeri Johor, itu terbatal.. Johor juga setuju dengan sistem pemerintahan di negara kita. Jadi, saya berpendapat kalau kita anggap bahawa yang akan memilih Perdana Menteri dan menteri besar adalah raja, kita sudah tidak jadi negara demokratik lagi.
“Kerana, walaupun rakyat pilih, parti yang berhak melantik menteri besar tapi ini dinafikan hak rakyat. Maknanya (ini) bukan demokrasi, tetapi negara 'kerajaan raja berkuasa mutlak'. Kalau ini sebenarnya boleh ada perbahasan tentang ini.. sama ada kita terima sistem sedia ada iaitu raja tidak berkuasa hanya ambil tindakan melalui nasihat di peringkat pusat, Perdana Menteri dan peringkat negeri, menteri besar, kalau itu dihapuskan maka kita tak perlu ada pilihan raya umum lagi,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Dr Mahathir berkata demikian bagi mengulas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang bertitah, "jangan sibuk mencampuri urusan negeri ini kerana negeri yang berdaulat ini masih mempunyai seorang Sultan”.
Menurut Sultan Ibrahim, biar pun baginda kini berada di luar negara, perkembangan dalam negara terutamanya di Johor tetap diikuti melalui laporan semua pihak.
"Saya mahu pihak tertentu berhenti membuat bising dan bertelagah mengenai politik sebaliknya tumpukan kepada usaha menjaga negara.
"Saya akan membuat keputusan yang terbaik demi rakyat saya apabila tiba masanya nanti," titah baginda lagi menerusi akaun Facebook rasmi baginda pada Rabu.
#Mahathir Mohamad
#Perdana Menteri
#Persekutuan Tanah Melayu
#raja berkuasa mutlak
#Raja Berperlembagaan
#Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
#Sultan Johor