PM imamkan solat jenazah Salahuddin Ayub

Bernama
Julai 24, 2023 11:50 MYT
Anwar mengimamkan solat jenazah Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub di Masjid Jamek Dato' Haji Noh Gadot di Serkat hari ini. -Astro AWANI
PONTIAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengimamkan solat jenazah Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub di Masjid Jamek Dato' Haji Noh Gadot di Serkat di sini hari ini.
Anwar tiba kira-kira pukul 11 pagi dengan diiringi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani.
PM beri penghormatan mengimamkan solat jenazah
Terdahulu, turut kelihatan beberapa menteri Kabinet, antaranya Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan menghadiri solat jenazah.
Beberapa pemimpin politik antaranya Pengerusi Kebangsaan DAP Lim Guan Eng, Naib Pengerusi parti Amanah Dr Dzulkefly Ahmad, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat di sini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu meninggal dunia pada umur 61 tahun di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada pukul 9.23 malam tadi (Ahad), setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak pada usia 61 tahun.
Timbalan Presiden Amanah itu meninggalkan isteri, Datin Seri Fatimah Taha serta empat anak lelaki dan dua anak perempuan.
-- BERNAMA
#Salahuddin Ayub #Anwar Ibrahim #imamkan solat jenazah #Masjid Jamek Dato' Haji Noh Gadot
;