PM hulur sumbangan tampung kos perubatan adik Tasnim

Bernama
April 17, 2024 19:00 MYT
Ahmad Farhan (kiri) yang mewakili Anwar menyerahkan sumbangan kepada Mohammad Raji bagi menampung kos perubatan anaknya, Tasnim Al-Ulya Amali Mohammad Raji. - Foto FB Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyerahkan sumbangan bagi menampung kos perubatan adik Tasnim Al-Ulya Amali Mohammad Raji yang hilang upaya kekal.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Anwar berkata sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi kepada bapa kanak-kanak berkenaan iaitu Mohammad Raji Musa di kediaman mereka di Sungai Buloh, Selangor.
"Bagi meringankan beban yang dihadapi, saya telah menyerahkan sumbangan untuk menampung kos perubatan kepada bapa Tasnim iaitu saudara Raji," katanya.
Ahmad Farhan mewakili Perdana Menteri menziarahi kanak-kanak berusia tiga tahun itu yang diklasifikasikan sebagai hilang upaya kekal.
Anwar turut mendoakan semoga urusan adik Tasnim dan keluarganya dipermudah.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #Tasnim Al-Ulya Amali Mohammad Raji #Kanak-kanak #hilang upaya kekal
;