PM hulur sumbangan kepada keluarga Allahyarham Khairil Anwar Jamaludin

Bernama
Oktober 17, 2024 23:35 MYT
Sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik beliau iaitu Ahmad Farhan Fauzi yang menziarahi keluarga Allahyarham Khairil Anwar Jamaludin baru-baru ini. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada keluarga seorang daripada penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu yang maut dalam nahas di Jalan Pantai Sura pada 9 Okt lepas.
Sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik beliau iaitu Ahmad Farhan Fauzi yang menziarahi keluarga Allahyarham Khairil Anwar Jamaludin baru-baru ini.
"Saya amat bersimpati dan berdukacita dengan insiden menyayat hati ini yang telah mengorbankan nyawa tiga anak muda.
"Semoga Allahyarham bersama-sama dua sahabatnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Anwar turut mendoakan agar keluarga mangsa dikurniakan kekuatan dan ketabahan untuk berdepan ujian berat itu serta diberikan keadilan.
Nahas pada 7.35 malam itu menyaksikan Khairil Anwar, 20, Ku Adib Aizat Ku Azmi, 20, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, dan Muhammad Akhmal Md Tukirin, 25, dirempuh dari belakang oleh sebuah kenderaan utiliti sukan yang dipandu seorang wanita berusia 49 tahun di Jalan Pantai berhadapan UiTM Dungun sewaktu menaiki motosikal untuk pulang ke kampus mereka.
Rempuhan itu mengakibatkan Ku Adib Aizat dan Khairil Anwar masing-masing dari Sungai Buloh dan Ampang, Selangor serta Muhammad Akhmal dari Muar, Johor meninggal dunia di tempat kejadian akibat patah tulang leher, cedera di kepala dan dada.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri Anwar Ibrahim #sumbangan #Tragedi UiTM Dungun #Khairil Anwar Jamaludin
;