PM harus jawab sendiri isu DNAA dalam Dewan Rakyat - Hassan Karim

Ridauddin Daud
September 14, 2023 11:30 MYT
HASSAN: Ini untuk berlaku adil, supaya sahabat-sahabat di blok pembangkang dan Backbenchers nak dengar dari Perdana Menteri sendiri, supaya isu DNAA dinoktahkan juga dalam dewan ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri harus menjawab sendiri dan menjelaskan kepada Dewan Rakyat berhubung keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Perkara itu disuarakan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang menegaskan, jawapan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah penting untuk menoktahkan terus isu tersebut.
Beliau mencadangkan agar Anwar menjelaskan isu itu semasa Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ).
Menurutnya, beliau pernah bertemu Perdana Menteri sebelum ini dan Anwar bersetuju dengan saranannya agar tidak langsung campur tangan dalam institusi kehakiman negara.
“Saya percaya apa yang beliau kata pada saya itu - antara dua orang sahabat, pemimpin dengan anggota partinya. Saya ada hak untuk percaya apa yang pemimpin saya cakap, dengan anggota partinya.
“Saya tidak akan campak pemimpin saya di bawah bas. Saya akan pertahankan di dalam Dewan ini.
“Tetapi, untuk berlaku adil, supaya sahabat-sahabat di blok pembangkang dan kami Backbenchers (Ahli Parlimen yang tidak pegang jawatan eksekutif) nak dengar dari Perdana Menteri sendiri, supaya isu DNAA dinoktahkan juga dalam dewan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Hassan, badan kehakiman seharusnya tidak dipersalahkan berkenaan isu DNAA itu, sebaliknya ia adalah tanggungjawab Peguam Negara.
#Zahid Hamidi #DNAA #Hassan Abdul Karim #Anwar Ibrahim
;