PM harap pengundi Kajang dapat beri kemenangan kepada calon BN
Bernama
Mac 22, 2014 20:24 MYT
Mac 22, 2014 20:24 MYT
Datuk Seri Najib Tun Razak berharap pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang memberikan kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi menyemarakkan lagi usaha memperkukuh kerjasama antara kaum dan pembangunan negara.
Perdana Menteri menarik perhatian bahawa PRK itu dikaitkan dengan apa yang dipanggil 'Kajang Move', dirancang PKR bagi kepentingan politiknya.
"Kita juga kesal kerana kempen pilihan raya kecil Kajang ini juga menjadi medan pemimpin parti pembangkang untuk mencemar bekas pemimpin negara yang telah lama bersara dari politik.
"Ini termasuklah serangan ke atas (bekas Menteri Kewangan) Tun Daim Zainuddin yang telah banyak menyumbang bakti kepada negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Najib berkata serangan dan tuduhan yang mengaibkan pemimpin lama, mencerminkan pembangkang tidak menghormati mereka yang berbakti kepada negara selama ini.
PRK Kajang diadakan selepas penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR meletakkan jawatan pada 27 Jan lepas.
Calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun berdepan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada PRK yang akan diadakan esok.
Najib juga berkata kempen pilihan raya kali ini berlangsung ketika kerajaan terpaksa mengendalikan usaha antarabangsa secara besar-besaran mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal.
"Marilah kita terus berdoa agar usaha ini akan berjaya dan tidak sepatutnya MH370 dijadikan isu politik kerana apa yang sebenarnya berlaku masih menjadi tanda tanya pihak penyiasat," katanya.