PM hadiri Majlis 'Kenuri' Rakyat di Padang Terap

Abd Hadi Che Awang
September 2, 2022 04:09 MYT
Sebaik tiba di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Nerang, Padang Terap, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut membantu masyarakat setempat memasak juadah untuk jamuan Majlis Kenuri Rakyat. - Gambar Astro AWANI
KUALA NERANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memulakan hari kedua lawatan kerja beliau di negeri Kedah dengan menghadiri Majlis 'Kenuri' Rakyat Keluarga Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Nerang.
Beliau tiba sekitar pukul 11.15 pagi diiringi Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Sebaik tiba, beliau sempat beramah mesra dengan masyarakat setempat yang bergotong-royong menyiapkan juadah bagi jamuan berkenaan.
Bagi sesetengah masyarakat di negeri Kedah, kenuri membawa maksud yang sama dengan kenduri.
Majlis 'Kenuri' Rakyat Keluarga Malaysia yang dianjurkan itu dihadiri kira-kira 15,000 masyarakat setempat terutama melibatkan penduduk di daerah Padang Terap dan daerah-daerah berdekatan.
Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Juhari Bulat serta EXCO Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Suraya Yaacob yang mewakili Menteri Besar Kedah.
Perdana Menteri juga dijadualkan menunaikan solat Jumaat di Masjid Tengku Sarafudin Badlishah, Kampung Bukit Nambuan, di sini, sebelum hadir bagi merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar petang ini.
#Majlis Kenuri Rakyat #Padang Terap #Perdana Menteri #Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia