Anwar yang berpakaian baju tradisional masyarakat India menyertai ribuan rakyat di Majlis Rumah Terbuka Deepavali Madani di Sentul Depot.
Hasimi Muhamad
Thu Oct 31 2024
Perdana Menteri Anwar bersalaman dengan pengunjung di Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI di Sentul Depot, Kuala Lumpur, pada Khamis. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir memeriahkan sambutan Majlis Rumah Terbuka Deepavali Madani di Sentul Depot, di sini, pagi ini.
Perdana Menteri yang memakai baju tradisional masyarakat India berwarna coklat tiba sekitar jam 11.15 pagi diiringi Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Majlis penuh meriah dan warna-warni anjuran Kementerian Digital dijangka dihadiri 5,000 pengunjung pelbagai kaum sempena perayaan Pesta Cahaya yang diraikan penganut agama Hindu di seluruh negara hari ini.
Tinjauan Astro AWANI menyaksikan majlis tersebut bukan hanya dihadiri kaum India, tetapi juga pengunjung daripada berbilang agama dan bangsa.
Selain limpahan cahaya, pelbagai menu tradisional rakyat Malaysia dihidangkan seperti panipuri, ladu, thosai, nasi lemak goreng serta sate.