PM gesa PBB main peranan tangani 'diskriminasi COVID-19'
Harits Asyraf Hasnan
September 22, 2020 08:25 MYT
September 22, 2020 08:25 MYT
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memainkan peranan sewajarnya sebagai badan dunia dalam menangani COVID-19.
Tegasnya, PBB bukan hanya perlu bebas politik tetapi dengan bertindak balas terhadap beberapa masalah paling kritikal yang dihadapi dunia.
Malah, Muhyiddin turut menggesa PBB supaya menjadi badan dunia yang akan memastikan bahawa tidak wujud sebarang diskriminasi kepada negara lain dalam mendapatkan akses vaksin virus tersebut.
“Pandemik itu meragut begitu banyak nyawa dan mendedahkan kapasiti sebenar dan keberkesanan sistem penjagaan kesihatan kita. Impak kepada sosioekonomi juga begitu mendalam.
“Oleh itu, kita mesti pastikan yang sebaik sahaja vaksin ditemukan, ia mesti boleh dan mudah diperoleh kesemua negara. Tidak boleh ada sebarang diskriminasi.
“Kita mesti ingat yang pandemik ini menular tanpa mengira sesiapa, justeru maklum balas kita juga perlu bebas daripada diskriminasi.
“Kita mesti ingat yang pandemik ini menular tanpa mengira sesiapa, justeru maklum balas kita juga perlu bebas daripada diskriminasi. PBB kekal sebagai satu-satunya institusi global yang boleh dituntut hak milik oleh semua pihak,” katanya.
Beliau berkata seiring pada Mesyuarat Peringkat Tinggi PBB ke-75 yang disiarkan di Bangunan PBB di New York pada Isnin petang (waktu tempatan).
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata walaupun PBB telah berfungsi dengan baik selama 75 tahun khususnya dalam mempromosi pembangunan sosial dan ekonomi, namun secara realitinya PBB gagal menyelamatkan generasi daripada ‘bahana perang’.
Ujar beliau, masih ramai yang menderita akibat konflik yang masih belum dapat diselesaikan di peringkat dunia.
“PBB mesti membaiki aspek ini. Untuk melakukannya, ia mesti diperbaharu. Ketika ini, PBB amat diperlukan.
“Bagaimanapun, ia perlu lebih lengkap, bukan hanya dengan kebebasan politik tetapi dengan sokongan berterusan dari negara-negara anggota untuk bertindak balas terhadap beberapa masalah paling kritikal yang dihadapi dunia.
“75 tahun sejak kewujuannya, ini masa yang tepat bagi PBB untuk menilai pencapaiannya, membaiki kelemahannya dan mengetepikan halangan yang membantutkan kemajuannya,” ujarnya.
Justeru kata Muhyiddin, Malaysia mengalu-alukan penerimaan deklarasi untuk memperingati ulang tahun PBB ke-75 hari ini dan yakin bahawa ia akan memberi peluang keemasan kepada masyarakat antarabangsa untuk bertindak dengan lebih baik.
#COVID19
#ekonomi
#kesihatan
#koronavirus
#Muhyiddin Yassin
#New York
#pandemik
#PBB
#Perdana Menteri
#politik
#UNGA
#United Nations