PM gesa MAFI kembalikan jihad perangi orang tengah

Ridauddin Daud
Ogos 6, 2022 11:43 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika hadir pada Majlis Perasmian MAHA 2022 di MAEPS. - Foto BERNAMA
SERDANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengembalikan usaha jihad memerangi orang tengah yang pernah dilaksanakan pada lapan tahun lepas.
Menurut Perdana Menteri, jihad itu perlu diteruskan menerusi strategi penguasaan rantaian bekalan dengan kerjasama agensi di bawah MAFI seperti mewujudkan pusat pembelian padi, pusat pengumpulan buah-buahan, penambahan pasar tani dan pasar nelayan.
Tambah Ismail Sabri, Kerajaan kekal komited dalam mengurus isu kekurangan bekalan makanan biarpun berdepan dengan pelbagai kekangan termasuk kepincangan rantaian bekalan makanan dunia.
"Justeru, Kerajaan berusaha menangani manipulasi ‘orang tengah’ dan ‘kewujudan kartel’ dalam sektor pertanian dan rangkaian bekalan makanan yang menyebabkan kenaikan harga barang dan inflasi.
"Semalam, MyCC (Suruhanjaya Persaingan Malaysia) juga telah mengeluarkan keputusan cadangan terhadap lima perusahaan makanan ternakan yang bersekongkol dalam menaikkan harga makanan ayam.
"Ini amaran kerajaan terhadap kartel yang cuba memanipulasi harga dan pasaran," katanya ketika berucap semasa merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) di MAEPS Serdang pada Sabtu.
Tambahnya, beliau pernah mengisytiharkan jihad sebegitu pada 2014 dan tujuan utamanya adalah untuk mengekang tindakan orang tengah yang mengeksploitasi petani dan nelayan dengan memanipulasi harga di pasaran.
Katanya lagi, kerajaan juga telah melaksanakan beberapa langkah intervensi bagi mengukuhkan sekuriti bekalan makanan negara antaranya membatalkan kelulusan kuota import (AP), melaksanakan sekatan eksport ayam, mewujudkan stockpile ayam dan ikan.
"Dalam langkah intervensi ini, erajaan buat pertama kalinya memberikan subsidi berjumlah RM 1.1 bilion bagi meringankan beban penternak ayam sekaligus memastikan bekalan pengeluaran ayam dan telur mencukupi serta menjamin kestabilan harga.
"Langkah-langkah ini terbukti telah menunjukkan kejayaan dimana hari ini bekalan ayam bukan sahaja berlebihan bahkan harga ayam juga lebih rendah daripada paras harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM 9.40 sekilogram," ujarnya.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan beberapa memorandum persefahaman (MoU) melibatkan nilai pelaburan lebih RM4 bilion akan ditandatangani sepanjang MAHA 2022 yang berlangsung dari 4 hingga 14 Ogos ini.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee berkata MAHA 2022 juga dijangka menghasilkan lebih RM250 juta potensi nilai jualan.
MAHA 2022 yang berlangsung selama 11 hari itu juga menawarkan 22 segmen menarik melibatkan program secara fizikal dan hibrid yang turut melibatkan segmen di dalam dan luar dewan.
#MAHA #MAFI #ismail sabri yaakob #rantaian bekalan makanan
;