PM gesa AS henti salur senjata kepada Israel
Umavathi Ramayah
Mei 19, 2024 20:46 MYT
Mei 19, 2024 20:46 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Amerika Syarikat (AS) menghentikan penyaluran bekalan senjata kepada Israel serta menggunakan kuasa vetonya untuk menamatkan kekejaman di Palestin.
Dalam satu temu bual eksklusif dengan Al Jazeera pada Ahad, Perdana Menteri secara terbuka menempelek beberapa negara barat yang disifatkan sebagai hipokrit.
Menurutnya, negara-negara itu memperjuangkan demokrasi dan hak asasi manusia, namun di sebalik perjuangan itu mereka membiarkan kekejaman berterusan ke atas rakyat Gaza.
"Masyarakat antarabangsa telah menyatakan pendirian secara jelas bahawa pihak berkuasa termasuk Amerika Syarikat bahawa perlu melakukan apa sahaja yang boleh untuk menghentikan kekejaman dan perang (di Gaza).
"Saya tengok kebanyakkan negara Barat kelihatan hipokrit di sebalik kebenaran. Mereka memperjuangkan hak asasi dan demokrasi, namun mereka membiarkan kekejaman berterusan ke atas mereka yang tidak berdosa.
"Amerika Syarikat perlu melakukan apa sahaja tindakan untuk menamatkan konflik ini, bukan sahaja (menghentikan) penyaluran senjata tetapi juga menggunakan pengaruhnya," katanya.
Anwar menegaskan, AS mempunyai gabungan kemahiran diplomatik, pengaruh dan mekanisme yang boleh digunakan dalam menangani kekejaman itu.
"Sukar untuk membayangkan seorang individu bernama (Benjamin) Netanyahu (Perdana Menteri Israel) boleh menentukan nasib dunia," ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar memberitahu, dalam mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco tahun lalu, beliau menyatakan pendirian Malaysia dengan menyeru Presiden AS, Joe Biden untuk melakukan gencatan senjata dengan segera.
Namun katanya, tidak ada sebarang respon daripada AS mahupun Joe Biden.
Anwar berpendapat, kekejaman Israel ke atas Palestin merupakan satu bentuk penjajahan.
"Ramai yang bercakap mengenai peristiwa Nakbah (perang 1948) dan ancaman, ini sebenarnya penjajahan berterusan.
"Jelas Israel adalah sebuah negara apartheid kerana kita boleh lihat dengan jelas bagaimana tindakan mereka (Israel) terhadap rakyat Palestin dan bagaimana mereka menguasai tanah milik rakyat itu.
"Melihat kepada fakta dan impak di Gaza, mana-mana pihak yang waras tidak boleh menafikan bahawa ia adalah pembersihan etnik atau apartheid besar-besaran. Ia telah sampai ke tahap itu," katanya.
Ketika ditanya wartawan Sami Zeidan sama ada beliau bersetuju dengan kumpulan hak asasi manusia antarabangsa yang melabelkan AS sebagai bersubahat dengan Israel dalam perang di Gaza, Anwar berkata:
"Ia sesuatu yang tidak boleh dinafikan. Saya tidak berada di kedudukan untuk menafikannya kerana faktanya begitu jelas.
"Jelas (Israel adalah negara apartheid), bagaimana lagi kita boleh menjelaskan tindakan mereka (Israel) terhadap rakyat Palestin dan hakikat bahawa mereka terus menguasai tanah yang milik rakyat Palestin."