PM disuntik vaksin, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula
Harits Asyraf Hasnan
Februari 24, 2021 14:53 MYT
Februari 24, 2021 14:53 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menjadi individu pertama di negara ini disuntik vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech.
Ia sebagai simbolik kepada pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan fasa pertama melibatkan petugas barisan hadapan.
Muhyiddin disuntik di Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya Presint 11 jam 2.42 petang oleh jurusuntik yang dilantik Kementerian Kesihatan, Lina Ibrahim yang juga merupakan Ketua Jururawat Kesihatan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya.
Ia disusuli Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta empat petugas kesihatan dari Klinik Kesihatan Putrajaya turut menerima vaksin hari ini.
LAPOR LANGSUNG BERHUBUNG PROGRAM IMUNISASI COVID-19 KEBANGSAAN DI SINI
Mereka adalah Dr Tan Yee Ling, 30, (pegawai perubatan); Sheila Melissa Sikin, 31, (jururawat), Khairul Asraf Mohd Yasin, 44, (penolong pegawai perubatan) dan Clement Marai Francism, 36, (pemandu).
Mereka sebelum itu diberi taklimat penerimaan vaksin dan menandatangani borang persetujuan serta kebenaran vaksin.
Kesemua penerima akan dipantau 30 minit selepas disuntik sebelum pelepasan diberikan kepada mereka.
Perdana menteri kemudiannya melancarkan pendaftaran program vaksinasi menerusi MySejahtera yang akan memudah cara proses pendaftaran bagi menerima vaksin.
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, bertemakan "Lindung Diri, Lindung Semua" itu dilaksanakan dalam tiga fasa bermula hari ini dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.
Fasa 2 pula dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas - warganegara dan bukan warganegara - dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.
Pendekatan kerajaan melalui program imunisasi itu adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima vaksin menjelang Februari 2022.
Sejak kes pertama COVID-19 dilaporkan di negara ini pada 25 Jan 2020, pandemik yang melanda telah menjangkiti seramai 288,229 orang sehingga 23 Feb, selain lebih 1,076 kematian dilaporkan.
Malaysia menerima kumpulan pertama bekalan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech melibatkan 312,390 dos pada Ahad melalui pintu masuk utama negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang; Johor dan Pulau Pinang.
#Muhyiddin Yassin
#Dr Noor Hisham Abdullah
#COVID-19
#vaksin
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#Kementerian Kesihatan
#Putrajaya
#Vaksin COVID19