PM dijangka buat pengumuman penting berkaitan SSPA pada MAPPA ke-19, Jumaat ini

Bernama
Ogos 13, 2024 05:46 MYT
MAPPA ke-19 dilihat merupakan platform bagi Perdana Menteri untuk berkongsi amanat atau dasar kerajaan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Anwar Ibrahim dijangka membuat pengumuman penting mengenai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19, yang akan diadakan Jumaat ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Timbalan Pengarah Kanan (Pembangunan Kompetensi) Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Datuk Dr Haniff Zainal Abidin berkata pengumuman tersebut dijangka menarik perhatian ramai, terutama para penjawat awam.
"Kali ini, ramai yang pasti ternanti-nanti tentang polisi atau dasar kerajaan MADANI yang akan dibentangkan di MAPPA. Kali ini agak menarik kerana terdapat kemungkinan besar pengumuman penting berkaitan SSPA dan prinsip-prinsip yang perlu dilaksanakan oleh penjawat awam," katanya dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.
Haniff menjelaskan bahawa MAPPA ke-19 merupakan platform bagi Perdana Menteri untuk berkongsi amanat atau dasar kerajaan, dan ini merupakan penganjuran semula selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2022.
"Kita menjangkakan sekitar 7,000 penjawat awam akan hadir untuk mendengar sendiri apa yang ingin disampaikan oleh Perdana Menteri. Bagi mereka yang tidak dapat hadir, mereka boleh mengikuti siaran langsung melalui pelbagai platform termasuk media sosial," katanya.
Mengulas mengenai keunikan penganjuran MAPPA kali ini yang bertemakan Perkhidmatan Awam MADANI, Haniff berkata sebanyak 32 reruai agensi dan kementerian akan dibuka untuk memberikan perkhidmatan kepada penjawat awam dan orang ramai.
"Reruai terbesar yang akan dibuka ialah reruai Jabatan Perkhidmatan Awam dan INTAN. Selain itu, kami juga menyediakan reruai Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk membolehkan orang ramai membayar saman dengan harga diskaun.
"Kami juga akan mengadakan Gerai Jualan Rahmah untuk pengunjung membeli barangan keperluan pada harga lebih murah. MAPPA akan mula dibuka pada pukul 9 pagi dan mereka yang hadir boleh ke reruai yang ada terlebih dahulu, kerana Perdana Menteri dijangka tiba sekitar pukul 10 pagi," kata beliau.
Haniff turut memaklumkan bahawa kawasan parkir di sekitar PICC akan dibuka dan perkhidmatan shuttle turut disediakan untuk memudahkan pergerakan mereka yang hadir.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #pengumuman penting #Sistem Saraan Perkhidmatan Awam #SSPA #MAPPA