PM dan Hadi Awang dijangka hadir himpunan solidariti ummah untuk Rohingya esok
Tan Su Lin
Disember 3, 2016 15:20 MYT
Disember 3, 2016 15:20 MYT
Sebagai membantah kezaliman ke atas etnik Rohingya beragama Islam di Myanmar, Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya anjuran NGO-NGO Islam Malaysia bakal diadakan esok.
Dijangka turut hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Himpunan yang bakal diadakan di Stadium Taman Tasik Titiwangsa, dari jam 8 hingga 11 pagi itu juga akan mengumpulkan NGO-NGO serta tokoh-tokoh politik, masyarakat dan negara untuk menyatakan kebersamaan dengan derita Rohingya.
Ia bertujuan menunjukkan solidariti rakyat Malaysia bersama dengan umat Islam Rohingya yang dibunuh dan dihalau secara zalim dari tanah air mereka.
Selain itu, tokoh agamawan seperti para mufti, imam dan para pendakwah turut akan hadir bagi memimpin solat hajat dan munajat.