PM buka puasa bersama pengamal media, penggiat seni tanah air

Hilmi Malik
April 11, 2023 20:54 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) pada Majlis Berbuka Puasa bersama Pengamal Media dan Penggiat Seni di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa meluangkan masa dengan menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama pengamal media.
Majlis yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) itu juga antara lain turut meraikan penggiat seni.
Sebelum itu, Anwar tiba di Dewan Merdeka sekitar jam 6.30 petang yang disambut pengurusan tertinggi beberapa agensi media.
Majlis berbuka itu turut disajikan dengan pengisian tazkirah sebelum waktu berbuka.
Program seumpama ini menjadikan penganjuran kali pertama beliau berbuka bersama pengamal media dan penggiat seni sejak memegang tampuk kepimpinan negara.
Dalam pada itu, majlis berkenaan turut meraikan seramai 30 orang anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Kasih Ibu.
Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan duit raya terhadap kesemua anak yatim.
Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, dan Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Suhaimi Sulaiman.
Majlis yang berakhir sekitar jam 8.45 malam dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dan penggiat seni.
#Perdana Menteri Anwar Ibrahim #buka puasa #pengamal media #WTCKL
;