PM buat tinjauan persiapan Deepavali
Bernama
Oktober 22, 2022 23:54 MYT
Oktober 22, 2022 23:54 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkesempatan membuat tinjauan persiapan penganut Hindu menyambut Deepavali di Brickfields di sini malam ini.
Perdana Menteri yang tiba pada pukul 9.20 malam dan disambut Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan, meluangkan masa kira-kira sejam melawat Pesta Deepavali Brickfields dan kedai menjual pakaian Bollywood di Little India.
Beliau yang terlebih dahulu tiba di Pesta Deepavali Brickfields turut menyampaikan sumbangan Deepavali kepada 10 anak yatim.
Pesta Deepavali Brickfields yang popular dalam kalangan penduduk setempat itu menempatkan lebih 150 gerai jualan dan berlangsung selama 10 hari bermula 14 Okt lepas.
Ismail Sabri bersama Saravanan kemudiaannya bergerak menuju ke Little India di sini untuk berkunjung ke kedai menjual pakaian Bollywood.
Kehadiran Ismail Sabri ternyata menarik perhatian orang ramai dan ada yang mengambil kesempatan bersalaman serta bergambar dengan pemimpin nombor satu negara itu.
Sementara itu, Saravanan berkata kesudian perdana menteri meluangkan masa sibuknya untuk berkunjung ke Brickfields menunjukkan keprihatinan beliau kepada kebajikan masyarakat India.
"Saya ucapkan terima kasih kepada perdana menteri kerana walaupun baru balik dari Bera, Pahang, dan esok pagi perlu ke Sabah, beliau masih sempat melawat tapak perniagaan Little India.
"Beliau turut membeli tiga persalinan tradisional kaum India bewarna biru, coklat dan putih untuk dipakai ketika menghadiri rumah terbuka Deepavali nanti," katanya.
-- BERNAMA