PM bertemu wakil Google, bincang isu AI, pusat data

Harits Asyraf Hasnan
November 15, 2024 08:00 MYT
Anwar mengadakan pertemuan dengan Karan Bhatia dan pasukannya selama hampir 30 minit di luar AELW di Lima, Peru, pada Khamis. - Foto PMO
LIMA (Peru): Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan syarikat teknologi gergasi, Google, di luar Minggu Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) di sini pada Khamis petang waktu tempatan.
Dalam kenyataan yang dikongsikan kepada media, Anwar dilapor bertemu Ketua Global, Hal Ehwal Kerajaan dan Polisi Awam Google, Karan Bhatia serta pasukannya selama hampir 30 minit.
Tumpuan utama dalam perbincangan itu adalah berkait elemen penting yang akan memainkan peranan besar dalam memperkukuh ekonomi digital negara iaitu pemerkasaan ekosistem Kecerdasan Buatan (AI) dan pembangunan pusat data.
Perdana Menteri menegaskan bahawa aspek peraturan dan undang-undang berkaitan dengan AI dan pusat data perlu diberi perhatian yang sewajarnya.
"Aspek pemerkasaan ekosistem AI dan Pusat Data perlu diberi perhatian lebih-lebih lagi mengenai soal peraturan dan undang-undang yang berkaitan, bagi mengelakkan berlakunya ketirisan data serta eksploitasi ke arah keburukan," katanya.
Perdana Menteri turut mengarahkan kementerian berkaitan untuk mengambil tindakan segera bagi memastikan isu tersebut dapat dikawal dengan berkesan, demi menjaga keselamatan data negara.
Pada Mei lalu, Google menyatakan komitmen untuk melabur RM9.4 bilion (AS$2 bilion) untuk mewujudkan pusat data pertama dan wilayah Google Cloud di Malaysia dengan Elmina Business Park milik Sime Darby Property Bhd di Greater Kuala Lumpur menjadi destinasi pilihan.
Komitmen pelaburan baharu Google itu dijangka menyokong 26,500 pekerjaan merentasi pelbagai sektor di Malaysia termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan kewangan dengan jumlah impak ekonomi bernilai RM15.04 bilion (AS$3.2 bilion).
Wilayah Google Cloud di Malaysia akan menyertai 40 wilayah dan 121 zon yang kini beroperasi di seluruh dunia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan awan di peringkat tempatan dan global, selain program celik AI untuk pelajar serta pendidik Malaysia.
#Anwar Ibrahim #Google #ekonomi digital negara #pusat data #terkini
;